Notice: Undefined property: YjsgCheckBrowser::$Name in /var/www/html/templates/yougrids/yjsgcore/yjsg_core.php on line 338 Notice: Undefined property: YjsgCheckBrowser::$Name in /var/www/html/templates/yougrids/yjsgcore/yjsg_core.php on line 341 Notice: Undefined property: YjsgCheckBrowser::$Name in /var/www/html/templates/yougrids/yjsgcore/yjsg_head.php on line 213 Zakat

Zakat

Zakat adalah satu rukun daripada lima rukun Islam, difardhukan dalam bulan Syawal tahun ke 2 hijrah. Dari segi bahasa ialah membersih dan menyubur dan dari segi Syara' ialah mengeluarkan sebahagian dari harta yang tertentu diberikan kepada yang berhak menerimanya.

Firman Allah Ta’ala  :

Surah An-Nur Ayat 56

Maksudnya :  “ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat ”.

(Surah An-Nur Ayat 56)

Firman Allah Ta’ala :

Surah As-Syams Ayat 9

Maksudnya : “ Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) ”.

(Surah As-Syams Ayat 9)

Hukum Zakat

Wajib/Fardhu Ain ke atas orang Islam yang sudah sempurna syarat-syaratnya seperti cukup nisabnya,haulnya dan lain-lain lagi.

Firman Allah Ta’ala :

Surah An-Nisa’ Ayat 77

Maksudnya : “ Berilah Zakat ”.

Surah An-Nisa’ Ayat 77)

Firman Allah Ta’ala :

Surah At-Taubah Ayat 103

Maksudnya : “ Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

(Surah At-Taubah Ayat 103)

Sabda Rasulullah s.a.w :

hadis zakat riwayat oleh Bukhari & Muslim

Maksudnya : Dari ‘Abdal Rahman ‘Abdullah Ibn ‘Umar r.a katanya : Aku dengar rasulullah s.a.w. bersabda : Didirikan Islam atas lima (rukun) : Syahadah (pengakuan) bahawa tiada tuhan yang di sembah melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di baitullah serta puasa di bulan Ramadhan.(Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim)

Syarat-syarat zakat

Terbahagi kepada 2 bahagian :

  1. Syarat wajib zakat
  2. Syarat sah zakat

Syarat wajib Zakat

  1. Islam
  2. Merdeka
  3. Sempurna Milik
  4. Cukup Nisab
  5. Cukup Haul (12 Bulan/1 Tahun)

Syarat sah zakat

  1. Niat
  2. Memberi milik (Al-Tamlik)  - diberi kepada orang yang berhak

Kategori Zakat

  1. Zakat Pendapatan
  2. Zakat Simpanan
  3. Zakat KWSP
  4. Zakat Emas/Perak
  5. Zakat Perniagaan
  6. Zakat Saham
  7. Zakat Tanaman
  8. Zakat Ternakan

Keterangan :  Nisab berdasarkan harga emas semasa iaitu 85gm = 20 misqal = 25 mayam 2.7108 saga.

Kaedah Pengiraan Zakat

Zakat Pendapatan

Takrifan :  Imbuhan atau perolehan yang di peroleh oleh individu daripada majikan atau individu samaada pemberian dalam bentuk tenaga atau perkhidmatan profesional atau fizikal dalam tempoh harian, bulanan atau tahunan yang boleh dikenakan zakat.

(Fatwa telah pun diwartakan pada 22 Mei 2000 bagi mewajibkan setiap umat Islam yang telah cukup syarat bagi melunaskan zakat pendapatan).

Kaedah Pengiraan :

Terdapat 2 kaedah pengiraan di mana pembayar zakat boleh membuat pilihan:

Kaedah 1 : (Tanpa penolakan)

Pendapatan dari semua sumber setahun (termasuk elaun-elaun)

RM30,000 x 2.5% = RM 750.00

Kaedah 2 : (Dengan penolakan)


Bil

Perkara

Jumlah

a.

Pendapatan Setahun

RM 30,000.00

b.

Perbelanjaan

 
 
  • Diri

RM 8,000.00

 
  • Isteri (yang tidak bekerja)

RM 5,000.00

 
  • Anak (RM800.00 seorang x 6 orang)

RM 4,800.00

 
  • Pemberian Ibubapa

RM 1,200.00

 
  • KWSP (11%)

RM 3,300.00

 
  • Caruman ke Organisasi yang membayar zakat

RM 1,800.00

 

Jumlah Perbelanjaan

RM 24,100.00

c.

Pendapatan yang layak di zakat (a-b)
RM 5,900.00

d.

Zakat yang wajib dibayar (RM5,900.00 x 2.5%)

RM 147.50

Zakat Wang simpanan

Takrifan :  Zakat yang dikeluarkan oleh pendeposit daripada simpanan yang telah genap setahun atau cukup nisab.
Kaedah Pengiraan :

    1. Bagi simpanan tetap iaitu setelah cukup haul simpanan selama 354 hari dan melebihi nisab wajib dikeluarkan zakat.
    2. Bagi simpanan biasa pula, adalah berdasarkan jumlah baki terendah satu atau beberapa akaun simpanan dalam tempoh satu tahun . Ianya juga hendaklah diketahui tempoh haulnya iaitu bilakah bermula dan berakhirnya haul bagi simpanan tersebut.

Misalnya :

(Baki terendah bagi tahun 2005 adalah RM4,000.00)

RM4,000.00  x 2.5% = RM100.00

Zakat yang dikenakan adalah sebanyak RM100.00

Zakat KWSP/LTAT Dan Seumpamanya

Takrifan :  Zakat yang dikeluarkan oleh pencarum melalui KWSP/LTAT setelah diperoleh wang caruman tersebut dan cukup nisab serta haulnya.

Kaedah Pengiraan :

  1. 2.5% atas caruman KWSP ketika dikeluarkan samaada selepas bersara atau dikeluarkan untuk tujuan-tujuan lain sebelum bersara. Zakat perlu dibayar setiap kali pengeluaran dibuat.
  2. 2.5% atas wang simpanan KWSP/LTAT bagi setiap pekerja berdasarkan penyata tahunan.

Zakat Emas/Perak

Takrifan :  Zakat emas dan perak merupakan zakat barangan kemas dan perhiasan wanita. Zakat yang dikeluarkan ke atas emas bergantung samaada emas yang dipakai ataupun yang disimpan yang mana telah cukup nisab dan haulnya.

Kaedah Pengiraan :

Zakat Emas

Pembayaran zakat emas terbahagi kepada 2 iaitu :

  1. 2.5% atas nilai emas yang disimpan setahun yang nilai pasarannya melebihi kadar nisab (85gram).
  2. Emas yang dipakai tidak dikenakan zakat melainkan :
    Uruf nilai pasarannya melebihi kadar uruf ialah pemakaian setempat yang dibenarkan iaitu  RM5,000.00

Zakat Perak

2.5% ke atas nilai perak yang disimpan atau yang dipakai yang nilainya melebihi kadar nisab (624gram).

Zakat Perniagaan

Takrifan :  Zakat yang dikeluarkan oleh sesuatu perniagaan persendirian (tunggal) perkongsian, Syarikat Berhad, Syarikat Sdn. Bhd, Koperasi dan persatuan yang telah genap setahun operasi perniagaan dan cukup nisab yang mana barangan itu diniat untuk diniagakan dan berkembang.

Kaedah Pengiraan :  2.5% atas harta perniagaan yang layak di zakat yang telah melebihi nisab. (Harta Semasa – Tanggungan Semasa) x peratus pemilikan ekuiti yang dimiliki oleh individu muslim.

Zakat Saham

Takrifan : Zakat yang dikeluarkan ke atas pelaburan saham yang telah genap setahun dan cukup nisab.
Kaedah Pengiraan : 2.5% atas nilai terendah bagi semua saham yang dimiliki dalam tempoh setahun setelah ditolak pinjaman membeli saham dan tidak kurang dari kadar nisbah.

Zakat Tanaman

Takrifan :  Zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sesebuah negeri yang telah cukup 400 gantang seperti padi, gandum, biji-bijian dan sebagainya.

Kaedah Pengiraan :  5 ausuk bersamaan dengan 400 gantang (setelah dibersihkan dari roman dan hampa) kadar nisab ialah 10% daripada padi atau bijian yang ditanam jika di siram /diairi dengan air hujan semata-mata dan 5% jika diairi menggunakan tenaga.

Zakat Ternakan

Takrifan : Zakat yang dikenakan ke atas ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing yang tidak digunakan untuk tujuan kerja yang mana telah genap haulnya dan nisabnya.

Kaedah Pengiraan :  Zakat bagi ternakan ialah seekor lembu/kerbau bagi setiap 30 ekor lembu/kerbau dan seekor kambing bagi tiap 40 ekor kambing yang tidak digunakan untuk bekerja.

Qadha Zakat

Berbagai jenis zakat yang tidak ditunaikan semasa ianya wajib berzakat dan jika bayaran zakat dikeluarkan sekarang, ianya sebagai qadha zakat.

Zakat Fitrah

Zakat ini di fardhukan pada tahun ke 2 hijrah iaitu tahun di fardhukan puasa. Di fardhukan ke atas setiap individu muslim lelaki atau perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Firman Allah Ta’ala :
Surah Al-A’la Ayat 14

Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh).

(Surah Al-A’la Ayat 14)

Zakat fitrah atau nama lainnya “zakat an-nafs” iaitu zakat badan maksudnya zakat untuk menyucikan jiwa dengan mengeluarkan makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan dengan kadar satu gantang Baghdad bersamaan 2.70kg beras atau senilai dengannya diberi kepada golongan tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Syarat Wajib Zakat Fitrah

  1. Mempunyai lebihan makanan atau hartanya untuk diri & keluarga pada malam dan siang hariraya.
  2. Hidup pada akhir Ramadhan & awal Syawal
  3. Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan dan hidup hingga selepasnya.
  4. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan
  5. Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Waktu Mengeluarkan Zakat Fitrah

Waktu Afdhal/Sunat :Sebelum Sembahyang Sunat Hari Raya

Waktu Wajib :Selepas terbenam matahari malam Aidilfitri sehingga terbit matahari esoknya

Waktu Harus :Sejak Awal Ramadhan

Waktu Makruh :Selepas Sembahyang Sunat Hari raya sehingga terbenam matahari 1 Syawal

Waktu Haram : Selepas terbenam matahari 1 Syawal

Orang Yang Berhak Menerima Zakat Fitrah

Firman Allah Ta’ala :
Surah At-Taubah Ayat 60

Maksudnya : Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang – orang fakir dan orang-orang miskin dan a’mil-a’mil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah dan (ingatlah) Allah amat mengetahui lagi amat bijaksana.

(Surah At-Taubah Ayat 60)

Ada Lapan Asnaf :

1) Orang Fakir

Ialah orang yang tidak ada harta benda untuk keperluan hidupnya sehari-hari, tidak sanggup bekerja, tak mampu berusaha dan malu untuk meminta-minta.

2) Orang Miskin :

Ialah orang yang boleh bekerja dan berusaha tetapi tidak mencukupi keperluan hidupnya sehari-hari.

3) ‘Amil (pemungut zakat) :

Orang yang dilantik atau diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk memungut zakat.

4)Muallaf  :

Orang yang baru memeluk Agama Islam.

5) Hamba :

Terbahagi kepada tiga :

      1. Hamba Qin (hamba semata
      2. Hamba Mudabbar (hamba yang kemerdekaannya bergantung kepada mati tuannya).
      3. Hamba Mukattab (kemerdekaan dirinya bergantung kepada syarat-syarat yang diberikan oleh tuannya).

Sebagaimana keterangan Imam Syafie, hamba mukattablah yang layak menerima zakat.

6) Orang Yang Berhutang Banyak :

Iaitu tanggungan hutang untuk kemaslahatan diri dan keluarganya ataupun kemaslahatan umat Islam bila hutangnya itu telah melebihi dari harta kekayaannya.

7) Sabilillah :

Orang yang berjuang di jalan Allah

8) Ibnu Sabil

Orang yang dalam perjalanan jauh untuk menyempurnakan tuntutan Agama Islam kemudian kehabisan belanja atau biayanya.

b kemusykilan

b al quran

b doa

b kafa

JAKIM TV

Ikuti Kami