BERIMAN KEPADA ADANYA MALAIKAT

Allah Taala pencipta alam seluruhnya dan Dialah yang mengurus dan mentadbirkan segala hal ehwalnya dengan mengadakan undang-undang dan peraturan bagi tiap-tiap satunya.

Untuk menjalankan undang-undang dan peraturan dalam pentadbiran kerajaan-Nya yang maha luas itu, Allah Taala menjadikan kakitangan dan bala tentera-Nya empat jenis makhluk,  di antaranya dua jenis makhluk yang halus iaitu Malaikat dan Jin, manakala dua jenis lagi makhluk yang bertubuh kasar,  iaitu manusia dan haiwan. 

Salah satu di antara empat jenis makhluk yang tersebut yang hendak dihuraikan di sini ialah jenis Malaikat.

Malaikat itu dijadikan Tuhan dari Nur, dan mereka sejenis makhluk yang ghaib yang tak dapat diketahui keadaannya dengan pancaindera kecuali apakala mereka menjelma atau menyamar din sebagai makhluk yang lahir.

Beriman kepada perkara yang ghaib. 

Beriman kepada Malaikat adalah satu dari beriman kepada perkara-perkara yang ghaib. 

Beriman kepada perkara-perkara yang ghaib itu pula menjadi garis perbezaan di antara manusia dengan haiwan yang hanya dapat mengetahui setakat apa yang dapat dicapai oleh pancainderanya, sedang segala yang sabit wujudnya adalah lebih luas dari apa yang dapat dicapai dengan pancaindera atau alat-alatnya.

Manusia dapat menyedari bahawa perkara-perkara ghaib yang di luar alam benda ini adalah lebih luas masa dan tempatnya dari apa yang boleh dicapai oleh fahaman akal manusia dalam umurnya yang pendek dan terbatas.

Dengan yang demikian, maka bagi menyelamatkan tenaga akal yang terbatas itu dari terbuang dengan sia-sia,  tidaklah patut digunakan dia pada perkara-perkara yang tidak dapat dikuasainya.

Tenaga akal yang dikurniakan Allah kepada manusia ialah untuk menjalankan tugas mengatur kehidupan dalam alam ini dengan cara memerhati, mengkaji dan mengambil kesimpulan untuk mencapai kemakmuran dalam kehidupan dunia yang menjadi jambatan bagi kehidupan bahagia di akhirat kelak

Dengan itu nyatalah bahawa sebarang usaha untuk mengetahui perkara-perkara yang di luar alam nyata ini dengan jalan akal yang tenaganya terhad dengan batasan-batasan hidup di bumi ini semata-mata, adalah suatu usaha yang sia-sia,  yang sudah tentu akan menemui kegagalan.

Manusia sudah tentu mengakui bahawa tiap-tiap yang terbatas, tidak akan dapat menghubungi apa yang di luar batas, dan dengan itu maka akal dengan sendirinya terpaksa mengakui bahawa:

(1) Perkara yang di luar batas itu mustahil dapat dicapai oleh kuasa pemikirannya.

(2) Perkara-perkara yang tidak dapat dicapai oleh kuasa pemikirannya itu tidak mesti ketiadaan sabitnya dalam bahagian perkara-perkara ghaib yang tersembunyi. 

(3) Maklumat-maklumat mengenai perkara-perkara ghaib hanya boleh diterima dari Yang Maha Mengetahui,  lagi Maha Bijaksana,  yang ilmuNya meliputi perkara-perkara zahir dan batin,  perkara-perkara ghaib dan nyata.  Maklumat-maklumat yang tersebut ialah segala apa yang datang dari Allah Taala melalui al-Qur'an al-Karim dan hadis-hadis yang sahih. 

Pengakuan yang demikian adalah satu dari asas-asas agama yang di antara rukun-rukunnya ialah percayakan wujudnya Malaikat.

Malaikat adalah suatu jenis makhluk yang dilengkapkan oleh Allah dengan persediaan-persediaan untuk mematuhi perintah Allah semata-mata, iaitu: Mereka tidak pernah menderhaka kepada Allah,  dan mereka sentiasa melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah `Azza wa Jalla.

Menurut "Athar" Said bin al-Musaiyab bahawa Malaikat itu bukan lelaki dan bukan perempuan;  mereka tidak makan,  tidak minum,  dan tidak tidur.

Bilangan Malaikat amatlah banyak tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah.  Tiap-tiap seorang diwajibkan beriman kepada Malaikat dengan cara Ijmal (umum), melainkan sepuluh sahaja yang wajib beriman kepada mereka secara tafsil (satu persatu), seperti yang tersebut di bawah ini:

(1) Malaikat yang bernama: Jibril - di antara tugasnya: Menyampaikan wahyu. 

(2) Malaikat yang bernama: Mikail - di antara tugasnya: Mengurus hal ehwal penghidupan.

(3) Malaikat yang bernama: Israfil - di antara tugasnya: Meniup Sangkakala

(4) Malaikat yang bernama: Izrail - di antara tugasnya: Mengetuai Malaikat-malaikat yang mengambil nyawa.

(5) Ketua Malaikat Syurga yang terkenal dengan nama Ridhuan.

(6) Ketua Malaikat Neraka yang dipanggil: Malik.

(7) Dan (8) Malaikat-malaikat yang bergelar: "Raqib Atid" dan Kiraaman Kaatibin" - di antara tugasnya: Menulis amal manusia. 

(9) Dan (10) Malaikat-malaikat yang disebut:  "Munkar" dan "Nakir" - di antara tugasnya: Menyoal orang mati. 

Jelasnya, Malaikat secara umum mempunyai berbagai-bagai tugas; ada yang ditugaskan mengenal undang-undang kejadian alam,  seperti mengedarkan cakerawala, menurunkan hujan, menumbuh dan menyuburkan tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman, menghala dan menahan angin dan awan,  menjaga dan menguasai gunung ganang, bukit-bukau serta lautan; dan banyak lagi.

Ada pula yang ditugaskan mengenai hal ehwal yang berhubung dengan manusia seperti yang berikut, di antaranya:

Ada yang ditugaskan mengenai kejadian manusia dalam kandungan rahim ibunya:

19- عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ وَكَّلَ بِالرَّحِمِ مَلَكًا يقول أَيْ رَبِّ نُطْفَةٌ أَيْ رَبِّ عَلَقَةٌ أَيْ رَبِّ مُضْغَةٌ فَإِذَا أراد الله أن يقضي خَلْقَهَا قَالَ أَيْ رَبِّ أَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ذَكَرًا أَوْ أُنْثَى فَمَا الرِّزْقُ فمَا الْأَجَلُ فَيَكْتُبُ كَذَلِكَ فِي بَطْنِ أُمِّهِ". (البخاري ومسلم والإمام أحمد)

19 Dari Anas r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu Malaikat berhubung dengan peringkat-peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan-keadaan yang akan dilalui dan didapatinya; apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, Malaikat bertanya: "Ya Tuhanku!  Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak- Ya Tuhanku!  Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seorang anak,  Malaikat bertanya lagi: "Ya Tuhanku! adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah ia atau perempuan?  Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya?" (setelah Malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis sebagaimana yang telah diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya."

(Bukhari, Muslim dan Imam Ahmad)

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menyatakan: Bahawa setiap anak dalam kandungan ibunya ada Malaikat yang ditugaskan Tuhan mengenai peringkat-peringkat kejadiannya - mulai dari jatuhnya air benih ke dalam rahim ibunya sehinggalah Ia cukup sifat-sifatnya sebagai seorang manusia dan Malaikat inilah juga yang menulis apa-apa jua yang berhubung dengannya meliputi rezeki dan ajalnya, dan nasib baik atau buruknya.

Kesimpulannya: Tiap-tiap seorang anak Adam itu dijadikan oleh Allah s.w.t., menurut apa yang telah diaturkannya.



Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan memerhati amalan-amalan manusia: 

20- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَصَلَاةِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ. (البخاري ومسلم والنسائي)

20- Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Malaikat turun naik dalam kalangan kamu silih berganti malam dan siang, kedua-dua puak itu berhimpun pada waktu sembahyang Subuh dan pada waktu sembahyang Asar;  setelah itu puak yang bermalam dalam kalangan kamu: naik,  lalu ditanya oleh Allah Taala - sedang Ia mengetahui hal hamba-hamba-Ku semasa kamu tinggalkan. Malaikat menjawab:  "Kami tinggalkan mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang dan kami datang kepada mereka sedang mereka mengerjakan sembahyang.

(Bukhari, Muslim dan al-Nasa'i)

Dalam hadis ini, Rasulullah  menyatakan: Bahawa bagi tiap-tiap seorang ada Malaikat yang ditugaskan memerhati amal-amalnya. Amal yang dikerjakan pada siang hari: ada Malaikat yang memerhatinya demikian pula amal-amal yang dikerjakan pada malam hari. 

Kedua-dua puak Malaikat itu turun naik silih berganti dan mereka akan bertemu di antara satu dengan yang lain pada waktu sembahyang Subuh dan pada waktu sembahyang Asar;  maka berbahagialah orang-orang yang mengerjakan dua sembahyang itu pada awal waktunya kerana dapat disaksikan bersama oleh Malaikat malam dan Malaikat siang yang tersebut.

Di antara Malaikat juga, ada yang bertugas mengisytiharkan kepada umum tentang orang yang dikasihi Allah dan orang yang dibencinya:

21- عَنْ أَبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ عَبْدا نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحْبِبْهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ فَيُنَادِي جِبْرِيلُ فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ وَإِذَا أَبْغَضَ الله عَبْدًا دَعَا جِبْرِيلَ فَيَقُولُ إِنِّي أُبْغِضُ فُلَانًا فَأَبْغِضْهُ قَالَ فَيُبْغِضُهُ جِبْرِيلُ ثُمَّ يُنَادِي فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُبْغِضُ فُلَانًا فَأَبْغِضُوهُ قَالَ فَيُبْغِضُونَهُ ثُمَّ تُوضَعُ لَهُ الْبَغْضَاءُ فِي الْأَرْضِ. (البخاري ومسلم)

21- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya "Apabila Allah hendak membahagiakan seseorang hamba-Nya, Allah Taala menyeru Jibril dengan firman-Nya: "Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah engkau mengasihinya"; Jibril pun mengasihinya kemudian Jibril mengisytiharkan kepada sekalian penduduk  langit katanya: Sesungguhnya Allah kasihkan si anu maka hendaklah kamu sekalian mengasihinya; dengan itu penduduk langit pun mengasihinya setelah itu orang yang tersebut, dikasihi dan diberi sambutan di bumi. Dan apabila Allah Taala bencikan seseorang hamba-Nya, Allah memanggil Jibril serta berfirman: "Sesungguhnya Aku bencikan si anu maka hendaklah engkau bencikan dia"; Jibril pun membenci isytiharkan kepada sekalian penduduk langit,  katanya: "Sesungguhnya Allah bencikan si anu maka hendaklah kamu sekalian membencinya"; dengan itu penduduk langit pun membencinya; setelah itu orang yang tersebut dibenci dan dipulaukan di bumi."

(Bukhari dan Muslim)

Hadis in menerangkan:  Bahawa sifat-sifat dan amalan yang baik menyebabkan orang yang mempunyainya dikasihi Allah dan dikasihi oleh sekalian makhluk,  yang memahami baik dan buruk,  dari penduduk langit dan bumi. Demikian pula sebaliknya.

Tujuan pengisytiharan kasih atau benci yang tersebut yang dibuat untuk orang itu ialah sebagai memberi nilai yang sewajarnya supaya kesan kebaikan dan kejahatan itu dapat dirasai oleh orang yang mempunyainya dalam dunia ini sebelum ia menerimanya di akhirat kelak dengan sepenuhnya.

Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan turut mengucap Amin:

22- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَمَّنَ الْإِمَامُ فَأَمِّنُوا فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلَائِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (الجماعة)

22- Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w sabdanya: Apabila Imam mengucapkan: Aamiin, maka hendaklah kamu mengucapnya bersama kerana sesiapa yang ucapan Aaminnya serentak dengan ucapan Aamin Malaikat, nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu."

(al-Jamaah)



23- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ آمِينَ وَقَالَتْ الْمَلَائِكَةُ فِي السَّمَاءِ آمِينَ فَوَافَقَتْ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَى غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (البخاري ومسلم والنسائي)

23- Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila seseorang kamu mengucapkan: Aamin,  dan Malaikat di langit pun mengucapnya, serta berbetulan pula masa ucapan itu satu sama lain1 nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu."

(Bukhari, Muslim dan al-Nasa'i)

Bacaan Aamin" selepas bacaan fatihah, lebih-lebih lagi yang dibaca oleh imam sembahyang, sangat besar tujuannya kerana fatihah itu mengandungi berbagai-bagai perkara - di antaranya ialah memohon hidayah pertunjuk dari Allah Taala ke jalan yang benar dan juga memohon perlindungan dari jalan orang-orang yang dimurkai dan sesat iaitu perkara-perkara yang tidak dapat dinilai dan tidak ada sesiapa pun yang dapat memberinya selain dari Allah Azza wa Jalla. 

Perkataan Aamin" itu pula maksudnya memohon ke hadrat Allah semoga segala permohonan yang terkandung dalam Surah al-Fatihah itu dikabulkanNya.

Dengan sebab tujuannya yang besar itu, maka bacaan "Aamin" dibaca juga oleh Malaikat di langit,  dan dengan yang demikian, menjadilah saat bacaan "Aamin" suatu saat yang mulia saat terbuka pintu keampunan Allah Taala kepada hamba-hamba-Nya yang tertentu. Oleh itu amatlah baiknya bagi makmum mengucap: Aamin serentak dengan "Aamin" imamnya demikian juga bila ia seorang din membaca fatihah, supaya terkena dengan saat bacaan Aamin" dari Malaikat dan dengan itu termasuklah ia dari orang-orang yang beroleh keampunan Allah. 

Peringatan: Kalimah "Aamin" tidak patut dipanjangkan alif hamzahnya lebih daripada dua "Harkat", kerana menurut bahasa Arab kalimah Aamin yang bermakna "Perkenankanlah permohonanku ya Tuhanku", tidak pernah dipanjangkan lebih daripada dua harkat: Alif hamzahnya.

Juga kalimah itu janganlah dilafazkan dengan berlebihan nyaringnya kerana perbuatan yang demikian adalah berlawanan dengan maksud yang terkandung pada ayat 110 Surah al-Isra'.



Di antara Malaikat juga ada yang ditugaskan membaca:  اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

24- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الْإِمَامُ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ قَوْلُهُ قَوْلَ الْمَلَائِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ،،. (البخاري ومسلم)

24- Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya "Apabila imam membaca: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه maka hendaklah kamu baca: اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ kerana sesiapa yang berbetulan bacaannya dengan bacaan Malaikat (yang juga membacanya), nescaya diampunkan dosanya yang telah lalu".

(Bukhari dan Muslim)

Di antara bacaan-bacaan dalam sembahyang ialah bacaan:  سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَه yang dibaca semasa bangkit dari rukuk kepada i'tidal. Maksud bacaan ini ialah: Semoga Allah menerima pujian orang yang memujiNya.

Sebaik-baik sahaja bacaan yang tersebut selesai dibaca, maka setiap orang yang sembahyang dituntut memuji Tuhan dengan berkata:  اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ Pujian ini juga diucapkan oleh Malai'kat pada saat itu.

Dalam hadis ini diterangkan tentang faedah ucapan pujian yang tersebut, iaitu sesiapa yang bertepatan ucapan pujiannya itu dengan ucapan pujian Malaikat nescaya ia akan beroleh keampunan Allah Taala pada saat yang mulia itu.

Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan memohon keampunan bagi orang yang berada di tempat sembahyangnya dengan keadaan suci bersih:

25- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمَلَائِكَةُ تُصَلِّي عَلَى أَحَدِكُمْ مَا دَامَ فِي مُصَلَّاهُ الَّذِي صَلَّى فِيهِ مَا لَمْ يُحْدِثْ تَقُولُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ ،،. (البخاري ومسلم)

25- Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: Malaikat sentiasa berdoa untuk seseorang kamu selama ia berada di tempat yang ia sembahyang padanya, selagi ia tidak berhadas,  iaitu mereka memohon dengan berkata:  "Ya Tuhan kami! Ampunilah dosanya, ya Tuhan kami! Berilah rahmat kepadanya."

(Bukhari dan Muslim).

Sembahyang - sebagaimana yang sedia diketahui - adalah suatu ibadat yang mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tidak terhitung, maka tempat sembahyang juga mempunyai nilainya yang tinggi. 

Seseorang yang menahan dirinya duduk di tempat sembahyang sesudah ia mengerjakan sembahyang - dengan keadaan suci dari hadas dan suci dari sebab-sebab yang mendatangkan dosa,  maka ia sentiasa didoakan oleh Malaikat yang bertugas untuk itu: Semoga Allah mengampuni dosanya dan memberi rahmat kepadanya:

Hadis ini membayangkan bahawa orang-orang yang beribadat ada di antaranya yang mengerjakan ibadatnya dengan sempurna dan ada pula yang kurang sempurna,  maka golongan yang pertama layak menerima rahmat Tuhan,  dan golongan yang kedua pula berhajatkan keampunan Tuhan.

Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan berdoa untuk orang-orang yang merapatkan celah-celah saf sembahyang, dan orang-orang yang berada pada saf yang pertama:

26- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الَّذِينَ يَصِلُونَ الصُّفُوفَ وَمَنْ سَدَّ فُرْجَةً رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً. (الإمام أحمد وابن ماجه)

26- Dari Aisyah r.a dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikatnya pula mendoakan bagi orang-orang yang masuk menutup celah-celah saf sembahyang serta orang-orang yang merapatkannya; dan orang yang masuk menutup celah saf sembahyang itu (akan beroleh satu tambahan lagi, iaitu) diangkatkan Allah martabatnya dengan perbuatannya yang tersebut: satu darjat."

(Imam Ahmad dan Ibn Majah)



27- عَنِ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الصَّفِّ الْأَوَّلِ. (الإمام أحمد وأبو دواد)

27- Dari al-Bara' bin `Aazib r.a., Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan Malaikat-Nya pula mendoakan bagi orang-orang yang sembahyang pada saf yang pertama."

(Imam Ahmad dan Abu Daud)

Sembahyang berjamaah mempunyai kelebihan yang besar,  dan kedudukan saf dalam sembahyang berjamaah itu dikehendaki tiap-tiap seorang menjaganya dengan baik supaya tidak terputus atau tidak ada celah celahnya.

Dalam hadis yang ke 26, Rasulullah s.a.w., menerangkan bahawa orang-orang yang mengambil berat menjaga saf dengan sebaik-baiknya akan diberi rahmat oleh Allah Taala dan mereka akan didoakan oleh Malaikat semoga dosa mereka diampuni Allah. 

Selain dari itu, orang-orang yang masuk menutup celah saf sembahyang pula akan ditinggikan martabatnya oleh Allah `Azza wa Jalla.

Dalam hadis yang ke 27 pula diterangkan tentang kelebihan saf yang pertama dalam sembahyang berjamaah dan balasan yang sebaik-baiknya yang didapati oleh orang yang mengambil tempatnya dalam saf yang pertama itu.

Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan mengingatkan manusia tentang kelebihan bulan Ramadhan dan peluang-peluang yang, terbuka bagi seseorang untuk berusaha menyelamatkan dirinya dari neraka: 

28- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ… يُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ. (الترمذي والنسائي)

28- Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan:  Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan;  berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya". Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."

(Tirmizi dan al-Nasa'i)

Bulan Ramadhan ialah bulan yang mulia dan diberkati Allah, tiap-tiap amal kebajikan yang dikerjakan padanya digandakan pahalanya.

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w., menyatakan: Apabila tiba bulan Ramadhan, Malaikat menyeru manusia menggunakan peluang yang baik itu dengan mengerjakan amal-amal kebajikan lebih dari biasa,  dan sebaliknya mana-mana yang hendak melakukan kejahatan janganlah mereka terdorong melakukannya.

Malaikat juga menerangkan dalam seruannya itu tentang kemurahan Allah Taala membebaskan orang-orang yang berdosa yang dijanjikan dengan azab siksa. Semoga peluang yang baik dalam bulan yang mulia itu digunakan dengan sepenuhnya.



Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan menyeru tiap-tiap hari, menggalakkan manusia supaya berbakti dengar nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah kepadanya:

29- عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا من يوم طَلَعَتْ فيه شَمْسٌه إِلَّا وكان بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ نداء يسمعه خلق الله كلهم غير الثَّقَلَيْنِ يَا أَيُّهَا النَّاسُ هَلُمُّوا إِلَى رَبِّكُمْ إِنَّ مَا قَلَّ وَكَفَى خَيْرٌ مِمَّا كَثُرَ وَأَلْهَى وَلَا آبَتْ الشَمْسٌ إِلَّا وكان بِجَنْبَتَيْهَا مَلَكَانِ يُنَادِيَانِ نداء يسمعه خلق الله كلهم غير الثَّقَلَيْنِ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا وَأَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا. (الإمام أحمد وابن حبان)

29- Dari Abu ad-Dardaa' r.a., dari Nabi s.a.w. sabdanya: Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Wahai sekalian manusia!  Marilah kamu semua berusaha mengenakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat; dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah,  dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah. "

(Imam Ahmad dan Ibn Hibban)

Dalam kehidupan hari-hari manusia banyak berhadapan dengan perkara-perkara yang melalaikannya daripada berusaha mengerjakan amal bakti,  lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya.

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w., menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari ada Malaikat yang menyeru - mengingatkan manusia supaya:

(1) Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan segala yang dilarang- untuk mencapai keredhaan Allah.

(2) Mengambil ingatan bahawa pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia meliputi harta benda dan nikmat nikmat yang lain - adalah lebih baik dari pendapatan-pendapatan yang banyak yang melalaikan dari mengerjakan amal bakti untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat.

Diterangkan juga bahawa Malaikat itu mendoakan semoga orang yang pemurah yang berbakti pada jalan Allah dengan harta benda,  ilmu pengetahuan dan tenaganya: diberi balasan yang berganda-ganda, manakala orang yang bakhil kedekut: ditimpa kerugian. 





Di antara Malaikat ini, ada yang ditugaskan pada hari akhirat - melahirkan penghargaan kepada orang yang telah membanyakkan amal-amal kebajikan:

30- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلَاةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلَاةِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الْجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الْجِهَادِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الْأَبْوَابِ كُلِّهَا قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ. (البخاري ومسلم)

30- Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang melakukan dua atau lebih dari jenis-jenis amal kebajikan untuk mencapai keredhaan Allah,  ia akan diseru oleh Malaikat dari pintu-pintu Syurga,  katanya: "Wahai hamba Allah!  Pintu ini lebih baik bagimu memasukinya. Maka sesiapa yang membanyakkan jenis sembahyang: ia tetap diseru dari pintu sembahyang dan sesiapa yang membanyakkan jenis perjuangan:  ia tetap diseru dari pintu perjuangan,  dan sesiapa yang membanyakkan jenis puasa:  ia diseru dari pintu puasa yang bernama: Rayyan, dan sesiapa yang membanyakkan jenis sedekah:  ia tetap diseru dan pintu sedekah. " Mendengarkan yang demikian, Abu Bakar r.a., berkata:  "Ayah dan ibuku menjadi galang gantimu Ya Rasulullah (dalam saat kecemasan). Tidaklah menjadi sebarang kesusahan kepada orang yang dijemput masuk dari setiap pintu itu bahkan satu kemuliaan kepadanya, maka adakah sesiapa yang dijemput masuk dari semua pintu itu?" Nabi s.a.w. menjawab:  "Ia, ada. Dan aku harap engkau seorang dari mereka yang berbahagia itu."

(Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w., menerangkan tentang kemuliaan dan penghormatan yang tinggi yang diberikan oleh Malaikat pada hari akhirat kepada orang yang membanyakkan jenis-jenis amal kebajikan yang dilakukannya.

Sesiapa yang melakukan dua atau lebih dari jenis-jenis amal kebajikan, sangatlah dihormati oleh Malaikat Syurga sehingga masing-masing berebut-rebut menjemputnya masuk dari pintu yang dijagainya.

Maksud mengerjakan dua atau lebih dari jenis-jenis amal kebajikan itu ialah: Misalnya seseorang mengerjakan sembahyang fardu ia juga mengerjakan berbagai-bagai sembahyang sunat.  Demikian halnya pada amal-amal kebajikan yang lain.

Mendengarkan tentang kemuliaan yang besar yang akan di dapati oleh orang yang berbahagia itu, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq,  r.a., merasa gembira dan meminta penjelasan dari Rasulullah s.a.w., lalu Baginda s.a.w. menerangkannya dan menyatakan harapannya semoga Sayidina Abu Bakar termasuk dalam golongan orang-orang yang beruntung itu.

Di antara Malaikat juga, ada yang ditugaskan menyampaikan ucapan selawat dan salam yang diucapkan oleh seseorang kepada Rasulullah s.a.w.

31- عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "إِنَّ للَّهِ مَلَكًا أَعْطَاهُ سَمْعَ الْعِبَادِ كُلِّهِمْ فَمَا مِنْ أَحَدٍ يُصَلِّي عَلَيَّ صَلَاةً إِلَّا أَبْلَغَنِيهَا". (البخاري في تاريخه والطبراني)

31- Dari Ammaar bin Yasir r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya ada bagi Allah satu Malaikat yang diberikan kepadanya kuasa mendengar ucapan hamba-hamba Allah semuanya maka tidak ada seseorang pun yang mengucap sesuatu selawat kepadaku melainkan Malaikat itu menyampaikannya kepadaku."

(Bukhari dalam Kitab Tarikhnya dan Tabrani)

32- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً سَيَّاحِينَ فِي الْأَرْضِ يُبَلِّغُونِي مِنْ أُمَّتِي السَّلَامَ مِمَّنْ يُسَلِّمُ عَلَيَّ مِنْهُمْ وَإِنْ بَعُدَ قُطْرُهُ وَتَنَاءَتْ دَارُاهُ. (الإمام أحمد والنسائي)

32- Dari Abdillah bin Mas'ud r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesungguhnya ada bagi Allah beberapa Malaikat yang berjalan di merata-rata bumi untuk menyampaikan salam kepadaku dari sesiapa di antara umatku yang memberi salam kepadaku, sekalipun jauh negeri orang itu dan tempat tinggalnya.

(Imam Ahmad dan al-Nasa'i)

Ucapan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w., adalah satu ibadat yang sangat-sangat dituntut dari setiap orang Islam dalam setiap masa. 

Islam ialah sebesar-besar nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada umat manusia. Tiap-tiap seorang Islam terhutang budi kepada Nabi Muhammad s.a.w. , yang telah menyampaikan agama Islam itu dan dengan sebab Bagindalah ia mendapat nikmat Islam yang tidak ada taranya itu. Dengan yang demikian hendaklah ia membanyakkan selawat dan salam kepada Baginda s.a.w., dalam setiap keadaan dan waktu sebagai menandakan cinta kasihnya kepada Baginda s.a.w.

Orang yang mencuaikan ibadat ini adalah dicap sebagai bakhil menurut pandangan syarak - kerana Ia tidak mengenang budi.

Pendeknya, selawat dan salam yang diucapkan oleh tiap-tiap seorang kepada Rasulullah s.a.w., amatlah besar fadhilatnya dan faedah-faedahnya dan kerana itulah ada Malaikat yang bertugas menyampaikannya kepada Baginda s.a.w.