BERIMAN KEPADA KITAB-KITAB ALLAH

Al-Qur'an Al-Karim

Kitab suci al-Qur'an al-Karim yang diturunkan oleh Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w. - Nabi dan Rasul yang akhir sekali, ialah kitab suci yang akhir sekali yang memansukhkan kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya.

Al-Qur'an al-Karim diturunkan oleh Allah Taala kepada Baginda s.a.w. dalam masa umat manusia terutama kaum Yahudi dan Nasrani berada dalam persengketaan dan perselisihan dalam berbagai-bagai masalah termasuk masalah ketuhanan dan kerasulan. Masing-masing pihak membenarkan pihaknya dan menyalahkan yang lain.

Al-Qur'an al-Karim, antara lain, mempunyai dua tugas yang besar. 

Pertama - Mengakui kebenaran yang terkandung dalam kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, mengenai beribadat kepada Allah semata-mata, beriman kepada Rasul-Rasul-Nya, menjalankan kebenaran dan keadilan,  berakhlak dengan sifat-sifat yang mulia dan mengakui benar adanya balasan pada hari akhirat. 

Kedua - Mengawasi kitab-kitab yang tersebut serta mendedahkan perubahan,  pindaan dan tokok tambah yang terdapat dalam kitab-kitab itu yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. 

Hakikat ini ditegaskan oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an al-Karim, ertinya:

"Dan Kami turunkan kepada mu (wahai Muhammad) kitab al-Qur'an dengan membawa kebenaran,  untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya. (48, Surah al-Maidah).

"Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) kalam Allah (isi kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar. (46, Surah an-Nisaa').

"Dan di antara orang-orang yang berkata:  `Bahawa kami ini orang-orang Nasrani,  Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka. mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya. (14, Surah al-Maidah).

Jelasnya, sesiapa yang hendak mencari kebenaran dan hendak mencapai pengajaran-pengajaran Ilahi yang benar,  tidak akan dapat di mana-manapun selain daripada yang terhimpun di dalam al-Qur'an al-Karim kerana al-Qur'anlah kitab suci yang terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan,  pindaan dan tokok tambah, serta telah disambut dan diterima oleh umat Islam dari Nabi Muhammad s.a.w.  yang menerimanya dari Malaikat Jibril a.s yang membawa turunnya dari Allah s.w.t.

Al-Qur'an juga sebuah kitab yang terhimpun di dalamnya:

(1) Dasar-dasar suci dan mulia dan sebenar-benar cara serta sebaik-baik peraturan.

(2) Segala apa jua yang diperlukan oleh umat manusia meliputi aqidah kepercayaan,  amal ibadat,  adab sopan dan segala bentuk muamalat (kira bicara dan perhubungan sesama manusia dalam bidang perniagaan,  perusahaan dan sebagainya).

(3) Segala peraturan yang menjamin wujudnya orang perseorangan yang sempurna,  keluarga yang mulia, masyarakat yang baik dan kerajaan yang adil

Hakikat ini diterangkan oleh Allah Taala dalam ayat 15-16, Surah al-Maidah. Di antara maksud-maksudnya:

(1) Bahawa umat Muhammad s.a.w,  telah datang kepada mereka - dari Allah s.w.t. - seorang Rasul selaku obor atau suluh yang menerangi pandangan hati nurani manusia dan sebuah kitab al-Qur'an yang menyatakan segala yang dihajati oleh umat manusia untuk kesempurnaan dan kesentosaannya;

(2) Bahawa melalui Rasul dan Kitab yang tersebut, Allah Taala - dengan peraturan dan undang-undangnya.

(a) Menunjukkan jalan keselamatan hidup di dunia dan di akhirat:

Kepada sesiapa yang menerima dan menurut peraturan dan cara bawaan hidup yang diredhaiNya.

(b) Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kufur,  kejahilan, maksiat dan sebagainya: Kepada sinaran cahaya iman,  ilmu pengetahuan,  amal ibadat dan perkara-perkara yang mulia.

(c) Memimpin manusia ke jalan yang tidak ada kebimbangan sesat bagi sesiapa yang melaluinya dan tidak pula berat atau payah dijalani, iaitulah jalan - "As-Siratal Mustaqin" - yang betul lurus.



Hakikat ini juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya:

18- عَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَا إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ أَلَا إِنَّهَا سَتَكُونُ فِتْنَةٌ فَقُلْتُ مَا الْمَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ كِتَابُ اللَّهِ فِيهِ نَبَأُ مَا قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ وَهُوَ الْفَصْلُ لَيْسَ بِالْهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّارٍ قَصَمَهُ اللَّهُ وَمَنْ ابْتَغَى الْهُدَى فِي غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللَّهُ وَهُوَ حَبْلُ اللَّهِ الْمَتِينُ وَهُوَ الذِّكْرُ الْحَكِيمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ الْمُسْتَقِيمُ هُوَ الَّذِي لَا تَزِيغُ بِهِ الْأَهْوَاءُ وَلَا تَلْتَبِسُ بِهِ الْأَلْسِنَةُ وَلَا يَشْبَعُ مِنْهُ الْعُلَمَاءُ وَلَا يَخْلَقُ عَلَى كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلَا تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِي لَمْ تَنْتَهِ الْجِنُّ إِذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِي إِلَى الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَمَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَمَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَمَنْ دَعَا إِلَيْهِ هَدَى إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ. ( الترمذي والدارمي )

18- Dari Ali, ra., katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w., bersabda: "Awaslah, sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: "Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "(Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat - yang terdahulu dari kamu dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu (kitab Allah al-Qur'an) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah) bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya akan disesatkan oleh Allah;  al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk;  dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan,  kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang dan kandungannya yang menakjubkan,  tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Qur'an yang - menakjubkan,  yang memimpin ke jalan yang benar,  lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakan sesuatu dengan berdasarkan kitab itu, benarlah perkataannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala;  dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus."

(Tirmizi dan Darimi)