IBADAT PUASA

Firman Allah Taala:

.. وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ..

" .. dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar .. "(1)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah "rukun puasa" dua perkara. Pertama: Niat,  dan kedua: Menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa, mulai dari masa terbit fajar hingga matahari terbenam.

_________________________

  1. Ayat 187, Surah al-Baqarah.

Masalah Niat

Masalah niat dan keterangan hadith mengenainya yang menjadi dalil bahawa nilai segala amal adalah berdasarkan niat,  telah dihuraikan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua. (1)

Niat Puasa Ramadhan

Mengenai puasa Ramadhan, masa berniat ialah pada waktu malam (sebelum terbit fajar), pada tiap-tiap malam.

______________________________

1. Hlm. 109.


Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

18- عَنْ حَفْصَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ. (رواه الترمذي وغيره)

18- Dari Hafsah, Ummul Mukminin r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang tidak berniat pada malam hari - sebelum terbit fajar (untuk berpuasa pada hari esoknya) maka ia tidak dikira berpuasa" (1)

(Riwayat Tirmizi dan lain lainnya)

___________________________

  1. Ibanat al-Ahkam (2:376). Menurut Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban hadith ini Hadith Sahih. 

Menurut huraian ulama' rahimahumullah wajibnya berniat pada waktu malam ialah bagi jenis-jenis puasa yang difardhukan iaitu puasa Ramadhan; puasa nazar,  puasa kifarah dan puasa qadha.

Sebaliknya tidak diwajibkan berniat pada waktu malam bagi jenis-jenis puasa sunat,  kerana Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan puasa sunat dengan memulakan niatnya pada siang hari seperti diterangkan dalam hadith yang berikut:

19- عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَ عَلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ فَقُلْنَا لَا قَالَ فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ. (رواه مسلم)

19- Dari `Aisyah r.a., katanya: Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. masuk sambil bertanya kepada saya, sabdanya: "Adakah kamu menyimpan sesuatu (untuk dimakan)?". Kami menjawab:  "Tiada (sesuatupun)." (Mendengarkan itu) Baginda bersabda: "Kalau begitu, Aku berpuasa .."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini alim ulama', rahimahumullah menyatakan, seseorang yang mengerjakan puasa sunat,  boleh berniat pada siang hari apabila ia melakukan yang demikian sebelum gelincir matahari dan ia pula tidak makan dan tidak minum sesuatu pun selepas terbit fajar hari itu dan tidak melakukan sesuatu yang membatalkan puasa. (2)

____________________________

1. Kitab yang sama (2:377).

2. Lebih lanjut, lih. Sabil al-Muhtadin (2:132).

Penjelasan Mengenai Niat Puasa Ramadhan

Orang yang hendak berpuasa Ramadhan, wajib berniat pada malam hari sebelum terbit fajar.  Jika ia tidak berbuat demikian, tidak sah puasanya.

Tempat " niat" itu ialah dalam hati dan inilah yang wajib dilakukan - yakni berniat dalam hati. Jika tidak, batallah puasa itu.

Tentang "melafazkan niat" dengan mulut, maka itu adalah sunat hukumnya kerana "lafaz niat" itu dapat menolong hati.



Perkara Yang Wajib Diniatkan Dalam Hati

Sekurang-kurang niat puasa Ramadhan hendaklah diingat - dihadirkan dalam hati:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ رَمَضَانَ.

"Sahaja aku puasa esok hari (untuk menunaikan fardhu) Ramadhan (1)

Tetapi yang lebih Sempurna (meliputi perkara yang wajib dan yang sunat) hendaklah diniatkan seperti berikut:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى.

"Sahajaku puasa esok hari untuk menunaikan fardhu Ramadhan, tahun ini, kerana Allah Taala".(2)



Syarat-Syarat Wajib Puasa

Syarat-syarat yang mewajibkan puasa ialah: Islam, baligh,  berakal dan berkuasa mengerjakannya (kecuali ia sakit atau terlalu tua umurnya atau sesuatu uzur yang dibenarkan oleh syarak).



Syarat-Syarat Sah Puasa

Syarat-syarat yang mengesahkan puasa ialah: Islam, berakal,  suci daripada haid dan nifas dan mengetahui hari yang dibenarkan berpuasa padanya.(3)



Puasa Kanak-Kanak

Meskipun kanak-kanak tidak diwajibkan mengerjakan sembahyang dan puasa Ramadhan, tetapi ibu bapa atau wali warisnya bertanggungjawab menyuruhnya mengerjakan ibadat yang asasi itu sehingga menjadi sebati kepadanya semasa ia masih tunas muda.

Mengenai sembahyang, Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan ibu bapa dengan sabdanya yang bermaksud:  "Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang semasa mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka - jika mereka meninggalkan sembahyang - semasa mereka berumur sepuluh tahun.(4)

Demikian juga halnya puasa kanak-kanak apabila sampai had umur yang tersebut. Mereka dikehendaki melatihnya berpuasa dengan memujuk. (Jika ada yang tidak dapat meneruskan puasanya kerana lapar dan dahaga,  bolehlah ia berbuka puasa pada saat itu).

Latihan yang demikian telah diamalkan oleh orang-orang Islam dalam zaman Nabi s.a.w. seperti yang tersebut dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Al-Rabi' binti Ma'ud, r.a.h. (5)

Perkara-Perkara Sunat Semasa Mengerjakan Puasa

Menurut huraian ulama' rahimahumullah, perkara-perkara yang disunatkan melakukannya semasa mengerjakan puasa itu banyak,  di antaranya ialah melambatkan makan sahur,  menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya, membanyakkan bersedekah,  membanyakkan membaca Al-Qur'an, mengerjakan sembahyang tarawih - sama ada dengan anak isteri di rumah atau dengan sidang jamaah yang lebih ramai di masjid dan juga sunat membanyakkan berzikir dan beristighfar, dan beri'tikaf di masjid.  Semuanya ini diterangkan dalam hadith-hadith yang berikut:

___________________________

1. Kitab yang sama (2:133).

2. Kitab yang sama (2:133) dan Raudhah al-Thalibin (2:350).

3. Supaya tidak berpuasa pada hari yang diharamkan mengerjakan puasa padanya.

4. Hadith Hasan - Riwayat  Abu Daud.  Nas hadith ini dengan lebih lanjut ada disebutkan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua, hlm. 74.

5. Fath al-Bari. (5:104).

Melambatkan Makan Sahur

20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً. (رواه البخاري ومسلم)

20- Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersahurlah kamu, kerana makanan sahur itu mengandungi berkat. "(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalimah "berkat" itu ertinya kebaikan yang banyak.  Kerana orang yang mematuhi perintah ini akan beroleh banyak faedah daripadanya, sama ada ketika ia bangun makan sahur atau ketika ia berpuasa pada esok harinya.

Berkatnya itu jelas. 

Pertama: Menjadikan orang itu mendapat peluang semasa bangun makan sahur pada waktu jauh malam untuk mengerjakan sesuatu amal ibadat dan berdoa, kerana saat itu sangat-sangat makbul doa padanya, lebih-lebih lagi kalau ia meneruskan ibadatnya hingga terbit fajar. 

Kedua: Ia akan bangun pagi dalam keadaan segar dan bertenaga dalam menghadapi puasanya.

__________________________

  1. Fath al-Bari (5:41) dan Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi (7:206).



Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:

21- عَنْ أَنَسٍ عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً. (رواه البخاري)

21- Dari Anas, dari Zaid bin Thabit r.a., katanya: "Kami telah makan sahur bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w., kemudian Baginda bangun mengerjakan sembahyang."

(Anas berkata): Aku pun bertanya (kepada Zaid): "Berapa lamanya antara azan (Subuh) dengan masa makan sahur?  Ia menjawab:  Kira-kira sekadar membaca lima puluh ayat" (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Menurut huraian al-Hafidz Ibn Hajar al-Asqalani, rahimahullah lima puluh ayat al-Qur'an yang tersebut ialah yang pertengahan - bukan ayat yang panjang-panjang dan bukan pula pendek-pendek.

Bacaannya juga bukan terlalu cepat dan bukan pula terlalu lambat.

Menurut Imam Nawawi, rahimahullah.: "Hadith ini menggalakkan supaya kita melambatkan masa makan sahur (sehingga ke peringkat yang akhir) sebelum terbit fajar". (2)

Yakni sebelum saat "imsak" yang sedia diketahui oleh umum. 

_________________________

1. Fath Al-Bari (5:40).

2. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:207).

Menyegerakan Berbuka Puasa

22- عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ. (رواه مسلم)

22- Dari Sahal bin Sa'ad r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang ramai masih berada dalam keadaan baik selagi mereka menyegerakan berbuka puasa (setelah masuk waktunya)."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Yakni perbuatan menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya adalah digalakkan oleh Islam dan peraturan ini sayugialah dipatuhi, supaya mendapat pahala yang dijanjikan.

_________________________

1. Kitab yang sama (7:207).

Masa Berbuka Puasa

Masa berbuka puasa diterangkan dalam hadith yang berikut:

23- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا وَغَرَبَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ. (رواه البخاري)

23- Dari Umar bin al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila tiba waktu malam dari arah sini dan beredar waktu siang dari arah sini serta tenggelamlah pula matahari, maka (dengan yang demikian) telah berbukalah orang yang berpuasa (kerana telah masuk waktunya)"(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

________________________

  1. Fath al-Bari (5:98).

Berbuka Puasa Dengan Buah Kurma

Disunatkan juga berbuka puasa dengan buah kurma (tamar) seperti yang diterangkan dalam beberapa buah hadith. Di antaranya hadith yang berikut:

24- عَنْ سَلْمَانَ بْنِ عَامِرٍ الضَّبِّيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَفْطَرَ أَحَدُكُمْ فَلْيُفْطِرْ عَلَى تَمْرٍ فَإِنَّهُ بَرَكَةٌ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ تَمْرًا فَالْمَاءُ فَإِنَّهُ طَهُورٌ. (رواه أبو داود والترمذي)

24- Dari Salman bin `Amir al-Dabiy r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Apabila seorang dari kamu berbuka puasa,  hendaklah ia berbuka dengan buah kurma, kerana buah kurma itu ada berkatnya (banyak khasiatnya). Kalau orang itu tidak dapat buah kurma maka memadai juga dengan air sejuk, kerana air itu bersih lagi membersihkan".(1)

(Hadith Hasan Sahih - Riwayat  Abu Daud dan Tirmizi)

Perintah Baginda supaya umatnya berbuka puasa dengan buah kurma ialah perintah sunat,  malah Baginda sendiri mengamalkannya seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut, (maksudnya): Biasanya Rasulullah s.a.w. berbuka puasa - sebelum sembahyang - dengan beberapa biji buah kurma yang masih basah dan ranum (rutab), kalau tidak dapat, Baginda berbuka dengan beberapa biji buah kurma yang sudah kering (tamar), kalau tidak dapat juga, Baginda berbuka dengan beberapa teguk air sejuk".(2)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah., tak dapat dinafikan bahawa buah kurma, banyak faedahnya atau khasiatnya, lebih-lebih lagi bagi orang yang hendak berbuka puasa.  Sebagai buah yang manis lagi lazat, buah kurma sangat sesuai dengan "ma'idah" manusia yang sedang kosong. Ia dapat memberi tenaga dan menyegarkan kisaran ma'idah dan jika ada bekas-bekas makanan yang terpendam ia dapat membersihkannya.

Demikian juga halnya air sejuk yang sedia diketahui oleh umum tentang faedahnya kepada tubuh badan dan perjalanan darah.(3)

_____________________________

1. Al-Targhib (3:141). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya.

2. Hadith Hasan, diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dan Anas r.a., Al-Targhib (2:142).

3. Dalam pada itu, setengah ulama' menyatakan oleh kerana buah kurma itu manis, maka orang yang tidak mendapatnya boleh juga berbuka puasa dengan benda-benda manis yang lain, sebaik-baiknya makanan yang tidak disentuh api, di antaranya ialah buah-buahan.


Saat Berbuka Puasa Dan Keistimewaannya


Keistimewaan saat berbuka puasa diterangkan dalam hadith yang berikut:

25- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. (رواه مسلم)

25- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: ".. orang yang berpuasa mendapat dua perkara yang menggembirakan. Pertama semasa ia berbuka puasa dan kedua semasa ia menemui Tuhannya (pada hari akhirat)". (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Menurut huraian ulama' rahimahumullah, ia bergembira semasa berbuka puasa kerana dapat menyempurnakan ibadat puasanya dengan pertolongan Allah dan Taufiq-Nya, manakala kegembiraannya pada hari akhirat kerana mendapat balasan yang sebaik-baiknya.

Sebagai bersyukur akan nikmat Allah dan limpah kurnia-Nya digalakkan berdoa, kerana doa orang-orang yang berpuasa sangat makbul pada saat berbuka puasa. 

________________________

1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (8:31).

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

26- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ. (رواه الترمذي)

26- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiga jenis orang - tidak ditolak doa permohonan mereka - pertama: Ketua pemerintahan yang adil,  kedua: Orang yang berpuasa semasa ia berbuka puasa dan ketiga: Orang yang teraniaya ..."(1)

(Hadith Hasan - Riwayat Tirmizi)

Menurut huraian ulama' (2) rahimahumullah: Semasa berbuka puasa,  sunat membaca doa yang berikut:

"اَللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ".

"Ya Allah Ya Tuhanku,  untuk-Mu jua aku berpuasa dan dengan rezeki kurniaan-Mu aku berbuka puasa".(3)

Dan juga doa yang berikut:

"ذَهَبَ الظَّمَاءُ ، وَابْتَلَّتِ الْعَرُوْقُ ، وَثَبَتَ اْلأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللهُ".

"Dahaga telah hilang,  segala urat pula telah basah dan telah - sabitlah pahala - Insya Allah".(4)

_________________________

1. Al-Jami' al-Saghir (1:140).

2. Mughni al-Muhtaj (1:436) dan Sabil al-Muhtadin (2:148).

3. Doa ini berdasarkan sebuah "Hadith Mursal" riwayat  Abu Daud dan Mu'az bin Zahrah.

4. Doa ini berdasarkan sebuah "Hadith Hasan" riwayat Abu Daud dan lain-lainya dari Ibn Umar, r.a., Nail al-Autar (4:234).

Membanyakkan Bersedekah Dan Membaca Al-Qur'an

Bersedekah dan membaca Al-Qur'an adalah dituntut melakukannya pada tiap-tiap waktu,  lebih-lebih lagi yang dilakukan dalam bulan Ramadhan,  bulan Nuzul Al-Qur'an, kerana pahalanya berganda-ganda.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

27- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ. (رواه البخاري)

27- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Adalah Rasulullah s.a.w. seorang yang sangat-sangat pemurah (dan sentiasa bersedekah), lebih-lebih lagi kemurahannya dan sedekah pemberiannya dalam bulan Ramadhan,  ketika malaikat Jibril datang menemuinya. Baginda ditemui oleh Jibril tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan untuk bertadarus al-Qur'an bersama.  Sebenarnya Rasulullah s.a.w. sangat-sangat bermurah hati dan sentiasa mengerjakan kebajikan (dengan tidak bertangguh lagi), lebih deras daripada hembusan angin (pembawa rahmat)"(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. tidak ada taranya, sehingga Baginda dipuji oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an al-Karim. Di antara sifat-sifat Baginda yang mulia itu, seperti yang digambarkan di dalam hadith ini, ialah tangannya sentiasa terbuka untuk memberikan bantuan kepada orang-orang yang memerlukannya, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan, kerana pahalanya lebih besar daripada yang diberikan pada bulan-bulan yang lain.

Selain dan itu, Baginda menyatakan rasa syukurnya, kerana bulan Ramadhan ialah bulan "Nuzul al-Qur'an", bertambah pula pada tiap-tiap malam di sepanjang-panjang bulan Ramadhan Baginda dapat "mengulangkaji" membaca al-Qur'an bersama-sama dengan Jibril - secara "Bertadarus".(2) Dengan itu dapat Baginda membaca al-Qur'an dengan betul dan sempurna,  lengkap dengan ilmu tajwid dan dapat pula menghafaznya.

Kandungan hadith ini menarik perhatian umat Islam supaya membanyakkan bersedekah dan membaca Al-Qur'an dalam bulan Ramadhan.

________________________

1. Fath al-Bari (1:34) Angin pembawa rahmat,  yakni pembawa hujan.

2. "Bertadarus" sebagaimana yang sedia diketahui ialah seorang membaca,  yang lain mendengar.  Demikian juga maksudnya yang tersebut dalam hadith ini, iaitu Jibril a.s. membaca lebih dahulu dan Rasulullah s.a.w. mendengar,  kemudian Baginda membaca dan Jibril pula mendengar.

Kelebihan bersedekah dan berkhairat ada diterangkan dalam bab zakat manakala kelebihan membaca Al-Qur'an dinyatakan dengan jelasnya dalam hadith yang berikut:

28- عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ. (رواه الترمذي)

28- Dari Ibn Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa membaca satu huruf dari kitab Allah al-Qur'an, maka baginya satu kebajikan, sedang satu kebajikan itu menyamai sepuluh kebajikan. Aku tidak mengatakan: "Alif Lam Mim" satu huruf,  tetapi "Alif" itu satu huruf dan "Lam" satu huruf dan "Mim" pula satu huruf.  (1)

(Hadith Hasan Sahih - Riwayat Tirmizi)

Kandungan hadith ini memberi perangsang supaya tiap-tiap seorang muslim dan muslimah sentiasa membaca al-Qur'an, sehingga menjadi amalan tetap harian dalam hidupnya.

Setelah kandungan "Kitab Allah" selesai dibaca sehingga "khatam", bacalah lagi sehingga khatam berulang-ulang,  selagi hayat dikandung badan.

Orang-orang yang telah merasi "Kemanisan Iman" dalam hatinya, sudah tentu tidak akan membiarkan masa lapangnya terbuang dengan sia-sia,  malah mereka sentiasa berlumba-lumba mengerjakan kebajikan (يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat.(2)

Bacaan Al-Qur'an yang sempurna dan berkesan - selain daripada membacanya dengan betul menurut hukum tajwid - mahulah pula difahami maknanya.

Hakikat ini diterangkan di dalam al-Qur'an:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا ءَايَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ.

"(Al-Qur'an ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab yang banyak faedah-faedah dan manfa'atnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat (mematuhi ajaran-Nya)."(3)

Yakni faedah-faedah yang banyak terkandung di dalam al-Qur'an meliputi segala pengajaran dan pertunjuk hidayah-Nya tidak akan dapat dicapai melainkan setelah tiap-tiap "kalimah" dan tiap-tiap "ayat suci" itu diketahui maknanya dan difahami dengan teliti,  sama ada pembacanya itu mengetahui bahasa Arab - Bahasa al-Qur'an - apalagi yang tidak mengetahuinya.

_______________________________

1. Tuhfah Al-Ahwazi (8:236) dan Riadhus As-Solihin (388).

2. Ada orang-orang yang tidak berpeluang belajar mengaji Al-Qur'an semasa kecilnya (semasa kanak-kanak dahulu) disebabkan keadaan yang tak dapat dielak, sehingga apabila mereka telah dewasa,  mereka tidak dapat membaca Al-Qur'an "yang tersurat" seperti orang lain - apalagi hendak mengkhatamnya. Malah ada di antaranya yang tidak tahu langsung membaca dan menulis. 

Tetapi dengan pertolongan Allah yang sentiasa melimpah-limpah rahmat-Nya, mereka dapat menghafaz surah al-Fatihah dan beberapa "surah" yang pendek-pendek dari al-Qur'an untuk dibaca dalam sembahyang dan di luar sembahyang.

Jika surah-surah pendek dari al-Qur'an yang mereka hafaz itu dibaca dengan berulang-ulang dan dijadikan amalan tetap dalam hidupnya maka mereka juga akan mendapat pahala yang besar yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya ini.

3. Ayat 29, Surah Sad.


Yang yang mengetahui bahasa Arab, kenalah ruju' kepada kitab-kitab tafsir dalam bahasa Arab untuk mengetahui makna dan pengertian al-Qur'an secara mendalam. Manakala orang yang tidak mengetahui bahasa Arab, kenalah berpandu kepada kitab-kitab tafsir dalam bahasa yang difahami.

"Hakikat inilah yang menggerakkan umat Islam di seluruh dunia menerbitkan kitab-kitab terjemahan al-Qur'an dan tafsirnya dalam bahasa masing-masing".

Kitab-kitab tafsir juga perlu dipelajari secara mendalam dan dengan ita sudah sewajibnya tiap-tiap masjid dan surau mengadakan pengajian tafsir Al-Qur'an berselang dengan pelajaran hadith dan ilmu "fardhu `ain" yang lain.

Ini dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith yang berikut:

29- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ. (رواه مسلم)

29- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: " .. dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah (masjid atau surau) dari rumah-rumah Allah,  sedang mereka membaca kitab Allah,  serta mereka mempelajari kandungan isinya(1), melainkan turun kepada mereka semangat tenang tenteram dan mereka diliputi oleh limpahan rahmat,  mereka pula dilingkungi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya".(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Demikian mulianya majlis-majlis ilmu yang diadakan di sana sini secara umum dan demikian pula majlis "tadarus al-Qur'an" yang diadakan dalam bulan Ramadhan secara khusus. 

Selain dari itu, masih ada amal-amal kebajikan yang disunatkan mengerjakannya dalam bulan Ramadhan,  di antaranya: Beriktikaf di dal am masjid(3), melebihkan nafkah anak isteri berbanding dengan yang diberikan pada bulan-bulan yang lain(4), mengerjakan sembahyang tarawih(5) dan menghayati sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan dengan amal ibadat untuk mendapat rahmat yang diberikan pada malam "Lailatul Qadar".(6)

________________________________

1. Yakni untuk mengetahui maknanya dan tafsirnya serta memahami hukum-hukumnya secara mendalam.

2. Riy'adh al-Salihin, (395).

3. Hukum beriktikaf dan rukun-rukunnya telah diterangkan dalam bab "Kedudukan Masjid Dalam Islam". Mastika Hadith, jil. kedua, (259).

4. I'anah al-Talibin (2:251).

5. Akan diterangkan secara khusus pada tempatnya.

6. Akan diterangkan secara khusus pada tempatnya.