IBADAT PUASA

Firman Allah Taala:

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..

" .. Sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .." (1)

Rukyah sebagaimana yang sedia diketahui ialah melihat anak bulan.

Menurut hukum syarak:  Sabitnya bulan Ramadhan ialah dengan jalan rukyah (atau mengetahuinya melalui sebaran am). Kalau tidak nampak, kerana anak bulan Ramadhan dilindungi awan,  maka hendaklah disempurnakan bilangan bulan Sya'aban tiga puluh hari.

Demikian juga halnya mengenai bulan Syawal. 

_____________________

1. Ayat 185, Surah Al-Baqarah.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

11- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ رَمَضَانَ فَقَالَ لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَاقْدُرُوا لَهُ. (رواه البخاري ومسلم)

11- Dari Abdullah bin Umar r.a.h., bahawa Rasulullah s.a.w., telah menyebutkan perihal bulan Ramadhan lalu bersabda: "Jangan kamu berpuasa hingga kamu melihat anak bulan Ramadhan dan jangan kamu berhari raya hingga kamu melihat anak bulan Syawal,  kalau kamu tidak dapat melihatnya disebabkan awan maka kirakanlah baginya."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

______________________

1. Fath al-Bari (5:22) dan Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:188).

Yakni kirakanlah bulan Sya'ban dari awalnya dan sempurnakanlah bilangannya tiga puluh hari, sebagaimana yang ditegaskan dalam hadith yang berikut:

12- فَإِنْ أُغْمِيَ عَلَيْكُمْ فَاقْدِرُوا لَهُ ثَلَاثِينَ. (رواه مسلم)

12- ".. Kalau kamu tidak dapat melihatnya disebabkan awan maka kirakanlah baginya tiga puluh hari".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

_______________________

1. Kitab yang sama (7:189).

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Muslim, rahimahullah dari Abdullah bin Umar juga. Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:

13- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ. (رواه البخاري ومسلم)

13- Dari Abu Hurairah r.a., katanya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Berpuasalah kamu setelah melihat anak bulan Ramadhan dan berhari-rayalah kamu setelah melihat anak bulan Syawal,  kalau ia terlindung dari penglihatan kamu maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya'ban tiga puluh hari."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim).

Demikianlah "masalah rukyah" sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith-hadith ini dan hadith-hadith yang lain. Sebab itulah apabila timbul sesuatu fahaman yang bertentangan dengan dasar rukyah maka fahaman itu tidak berkesan, kerana jumhur ulama' rahimahumullah, telahpun menjawabnya satu persatu.(2)

Kesimpulannya:

Dalam masalah ini, "rukyah" adalah perkara asasi, manakala kiraan hisab (falak syar'i) hanya sebagai pembantu sahaja dengan syarat-syarat yang tertentu.

Hakikat ini telah diputuskan dalam muktamar-muktamar Islam sedunia yang telah berlangsung di Istanbul (1978) dan di Amman - Jordan (1986).(3)

___________________________

1. Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Nasa'i dari Ibn Abbas dan al-Tabrani dan al-Barra' r.a. (Ittihaf Ahl al-Islam, bi Khususiyat al-Siyam, 56).

2. Antara lain lih. Fath al-Bari (5:22) dan Bidayata al-Mujtahid (1:284).

3. Tarikh persidangan kedua-dua muktamar itu disebutkan oleh Dr. Abdullah Ibrahim,  Yang Dipertua Persatuan Falak Syar'i, dalam kertas kerjanya yang telah dibentangkan dalam seminar yang berlangsung di Pusat Islam.

Masa Melihat Anak Bulan Ramadhan

Masa melihat anak bulan Ramadhan sebagaimana yang sedia maklum ialah pada dua puluh sembilan hari bulan Sya'aban, sebelah petangnya, semasa matahari terbenam, kerana bulan ada kalanya 29 hari dan ada kalanya 30 hari, seperti yang diterangkan dalam hadith-hadith yang berikut:

14- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الشَّهْرُ تِسْعَةٌ وَعِشْرُونَ فَلَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوُا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْهُ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا الْعِدَّةَ ثَلَاثِينَ. (رواه الإمام الشافعي)

14- Dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bulan itu dua puluh sembilan hari, maka janganlah kamu berpuasa hingga kamu melihat anak bulan Ramadhan dan janganlah kamu berhari-raya hingga kamu melihat anak bulan Syawal,  kalau ia terlindung dari penglihatan kamu, maka sempurnakanlah bilangan (bulan itu) tiga puluh hari".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Imam Al-Syafi`i)

Dalam sebuah hadithnya yang lain, Baginda menegaskan lagi, maksudnya: Bahawa bulan itu ada kalanya 29 hari dan ada kalanya 30 hari.(2)

Bahkan kebanyakan puasa Rasulullah s.a.w semasa hayatnya ialah 29 hari berbanding dengan puasanya 30 hari.(3)

Menurut Imam Nawawi, rahimahullah bulan 29 hari ada kalanya berturut-turut selama dua bulan ada kalanya selama tiga bulan dan ada kalanya selama empat bulan, tetapi tidak berlaku lebih daripada empat bulan. (4)

________________________

1. Musnad al-Imam al-Syafi`i (1:272).

2. Hadith Sahih riwayat Muslim dan Ibn Umar r.a. (Ibanat al-Ahkam, 2:371).

3. Demikian dinyatakan oleh Ibn Mas'ud r.a., `Aun al-Ma`bud (6:436).

4. Tuhfat al-Ahwadzi (3:371).

Pertalian Bulan Sya'ban Dengan Bulan Ramadhan

Untuk melakukan rukyah anak bulan Ramadhan dengan cara yang betul,  terlebih dahulu mahulah diketahui bilangan hari bulan Sya'ban.

Ini dinyatakan dalam hadith yang berikut:

15- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْصُوا هِلَالَ شَعْبَانَ لِرَمَضَانَ. (رواه الترمذي)

15- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Hitunglah (dengan bersungguh-sungguh) bilangan hari bulan Sya'ban untuk (mengetahui dengan betul masuknya) bulan Ramadhan. "(1)

(Riwayat Tirmizi)

________________________

1. Kitab yang sama (3:368), menurut pengulasnya, al-'Alamah al-Mubarakafuri, rahimahullah, hadith ini Hadith Sahih. 

Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:

16- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَفَّظُ مِنْ شَعْبَانَ مَا لَا يَتَحَفَّظُ مِنْ غَيْرِهِ ثُمَّ يَصُومُ لِرُؤْيَةِ رَمَضَانَ فَإِنْ غُمَّ عَلَيْهِ عَدَّ ثَلَاثِينَ يَوْمًا ثُمَّ صَامَ. (رواه أبو داود)

16- Dari `Aisyah r.a. katanya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh menghitung bilangan hari bulan Sya'ban, dengan tidak melakukan yang demikian terhadap bulan-bulan yang lain, kemudian Baginda berpuasa setelah melihat anak bulan Ramadhan;  kalau anak bulan itu terlindung disebabkan awan,  maka Baginda menghitung tiga puluh hari (bagi bulan Sya'ban) kemudian Baginda berpuasa (pada hari esoknya)".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat  Abu Daud)

__________________________

1. 'Aun al-Ma'bud (6:444).

Doa Semasa Melihat Anak Bulan:

Menurut huraian ulama', rahimahullah semasa melihat anak bulan, ada baiknya membaca doa yang pernah dibaca oleh Rasulullah s.a.w., seperti berikut:

اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ وَالتَّوْفِيقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ .

"Allah Maha Besar,  Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah bulan yang baharu terbit ini membawa kepada kami keamanan dan keimanan,  membawa keselamatan dan keislaman, dan juga membawa taufiq kepada perkara yang Engkau sukai dan redhai Tuhanku dan Tuhanmu (wahai bulan) ialah Allah".(1)

Baginda juga biasanya berdoa semasa melihat anak bulan Rejab dan Sya'ban secara khusus,  seperti berikut:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ.

"Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadhan. "(2)

__________________________

1. Doa ini berdasarkan Hadith Sahih - riwayat al-Darimi dan Ibn Hibban. (Mughni al-Muhtaj, 1:423 dan Ittihaf Ahl al-Islam bi Khususiyat al-Siyam, 73).

2. Ini diterangkan dalam hadith riwayat Tabrani dan lain-lainnya dari Anas r. a., (kitab yang sama 74). Dalam hadith ini juga Baginda memohon dipanjangkan umur sehingga dapat menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan selamatnya. Ini dapat difaham dengan jelas dari sabdanya yang bermaksud:  "Dan sampaikanlah kami (dengan selamatnya) ke bulan Ramadhan. "

Sabitnya Rukyah Bulan Ramadhan Dengan Seorang Saksi:

Menurut jumhur ulama' (termasuk alim ulama' dari mazhab Syafi'i) bahawa sabitnya rukyah bulan Ramadhan cukuplah dengan seorang saksi sebagaimana yang dapat difaham dan hadith Ibn Umar (1) dan hadith Ibn Abbas (2), r.a.

Sebaliknya sabitnya rukyah bulan Syawal,  menurut jumhur ulama' (termasuk keempat-empat imam mazhab yang empat) hendaklah dengan dua orang saksi sebagaimana yang dapat difaham dari hadith-hadith yang berhubung dengannya. Di antaranya empat buah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam "Musnad"nya.(3)

Saksi itu pula disyaratkan (menurut mazhab Syafi'i) hendaklah ia seorang lelaki,  Islam, baligh,  berakal,  merdeka dan adil,  walau pada zahirnya (4) dan hendaklah ia mengaku di hadapan qadhi atau hakim bahawa ia telah melihat anak bulan. Dalam pada itu, orang ramai tidak diwajibkan berpuasa melainkan setelah pengakuannya itu didengar dan disahkan oleh hakim (untuk diisytiharkan kepada umum).(5)

__________________________________

1. Riwayat Abu Daud diakui sahih oleh al-Hakim dan Ibn Hibban, (Ibanat al-Ahkam, 2:373 dan Subul al-Salam, 2:152).

2. Kitab yang sama (2:374) riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya dan diakui sahib oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban, manakala Imam a1-Nasa'i lebih berat kepada mengatakan Hadith Mursal.

3. Al-Fath al-Rabbani (9:269).

4. Yakni asalkan ia seorang muslim yang baik pada zahirnya dan tidak nyata fasiknya.

5. Al-Fiqh 'ala al-Madzahib al-Arba`ah (1:549).

Hukum Rukyah Mengenai Negeri-Negeri Yang Berdekatan Dan Negeri-Negeri Yang Berjauhan:

Masalah ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

17- عَنْ كُرَيْبٍ أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ قَالَ فَقَدِمْتُ الشَّامَ فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ مَتَى رَأَيْتُمْ الْهِلَالَ فَقُلْتُ رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ فَقَالَ أَنْتَ رَأَيْتَهُ فَقُلْتُ نَعَمْ وَرَآهُ النَّاسُ وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ فَقَالَ لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ أَوْ نَرَاهُ فَقُلْتُ أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ فَقَالَ لَا هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. (رواه مسلم)

17- Dari Kuraib, bahawa Ummu al-Fadhlu binti al-Harith, telah mengutusnya kepada Muawiyah di negeri Syam. 

Kuraib berkata lagi: Aku pun bertolak dan sampai di negeri Syam lalu aku selesaikan perkara yang ditugaskan oleh Ummu al-Fadhl. Semasa aku berada di negeri Syam masuklah bulan Ramadhan lalu aku melihat anak bulan pada malam Juma'at, kemudian aku kembali dan sampai di Madinah pada akhir bulan. Lalu Abdullah bin Abbas r.a., bertanyakan (khabar berita) kepada aku, kemudian ia menyebut tentang anak bulan katanya: "Bila kamu (dan penduduk negeri Syam) melihat anak bulan?".

Aku menjawab:  "Kami telah melihatnya pada malam Juma'at". Ibn Abbas bertanya lagi: "Engkau sendiri melihatnya?"

Aku menjawab:  "Benar, dan orang ramai juga melihatnya dan mereka telah berpuasa termasuk Muawiyah".

Ibn Abbas berkata:  "Tetapi kami telah melihatnya pada malam Sabtu, oleh itu, kami masih meneruskan puasa sehingga kami sempurnakan tiga puluh hari atau kami melihat anak bulan Syawal"

Aku pula bertanya: "Tidakkah tuan berpada dengan rukyah Muawiyah dan puasanya?"

Ibn Abbas menjawab: "Tidak, demikianlah kami diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w.".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Hadith ini menjadi dalil bahawa negeri-negeri yang berjauhan diwajibkan berpuasa menurut rukyah masing-masing.

Berdasarkan hadith ini, alim ulama' dari mazhab Syafi'i menyatakan: Apabila rukyah sabit dalam sesebuah negeri maka hukumnya meliputi negeri-negeri yang berdekatan yang bersamaan matla'nya, tetapi tidak meliputi negeri-negeri yang berjauhan, kerana berlainan matla'nya.

Sebaliknya jumhur ulama' dari mazhab-mazhab yang lain menyatakan: Apabila sabit rukyah dalam sesebuah negeri, maka wajiblah atas seluruh negeri-negeri yang lain memegang puasa bersama,  sama ada negeri-negeri itu berdekatan atau berjauhan, apabila berita rukyah itu sampai kepada mereka. (2)

Pihak jumhur berpegang kepada hadith yang maksudnya: "Berpuasalah kamu setelah melihat anak bulan Ramadhan dan berhari rayalah kamu setelah melihat anak bulan Syawal .." kerana ini - kata mereka - adalah perintah umum kepada umat Islam seluruhnya. Apabila penduduk sesebuah negeri melihatnya maka hukumnya meliputi seluruh negeri-negeri yang lain.(3)

___________________________________

1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:197). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi.

2. Al-Fiqh ala al-Madzahib al-Arba`ah (1:550).

3. Fiqh al-Sunnah (1:436).