WAJIB BERIMAN KEPADA QADAR TAQDIR

Soal orang murtad dan soal kebebasan beragama adalah dua masalah yang berlainan:

"Tidak ada paksaan dalam agama" ertinya: Orang-orang Islam tidak boleh sama sekali memaksa orang-orang kafir masuk Islam, kerana hakikat iman serta kesudahannya yang baik,  dan hakikat kufur serta akibatnya yang buruk,  telah dijelaskan oleh Allah dan Rasul-Nya di dalam al-Qur'an dan hadis yang sahih serta disampaikan oleh alim ulama yang menjalankan dakwah Islamiah, maka terserahlah kepada umat manusia memilih sama ada beriman dan taat atau pun kufur ingkar. 

Tambahan pula kalau orang kafir dipaksakan memeluk Islam nescaya tidak sah Islamnya, kerana iman yang sah ialah yang diyakini oleh hati, sedang hati manusia tidak dapat dipaksa. Berlainan halnya orang Islam yang telah murtad.  Apabila seseorang Islam menjadi murtad sama ada ia terpesong disebabkan i'tiqadnya, atau tutur katanya atau pun perbuatannya, maka bermakna ia telah melakukan jenayah bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi juga kepada keluarganya dan masyarakatnya serta umat Islam umumnya.

Di antara jenayah-jenayah itu ialah:

(1) Ia memandang dirinya betul dan pandai dengan bersikap murtad dan umat Islam semuanya salah dan bodoh belaka ini bermakna ia menghina dan memusuhi masyarakatnya.

(2) Ia menyalahkan ajaran Islam kerana di dorong oleh hawa nafsunya:

Tidak mahu terikat kepada suruhan Allah dan larangan-Nya. Ini bermakna ia ingkarkan perintah Allah dan Rasul-Nya setelah Ia mengakui benarnya semasa ia beragama Islam, dan ini juga bermakna menghina agama Islam yang menjadi pegangan hidup dan dihormati oleh umat Islam seluruhnya.

(3) Ia menjadi contoh yang buruk bagi orang-orang lain yang akan terpengaruh kepada fahaman di'ayahnya, dan dengan itu akan runtuhlah ajaran-ajaran Islam,  kebudayaannya, dan nilai-nilai akhlaknya yang suci murni, yang telah dibina dan dikembangkan silih berganti oleh pengembang-pengembang Islam semenjak zaman Nabi Muhammad s.a.w. , hingga hari ini, dan yang diharap akan berlanjutan seterusnya.

Jika demikian keadaan jenayah orang yang murtad itu, maka hukuman Islam yang telah ditetapkan untuk menghukumnya di dunia,  dan balasan azab seksa yang dijanjikan baginya di akhirat kelak amatlah adil dan padan dengan jenayahnya yang besar itu.

Dengan ini jelaslah bahawa "Riddah" itu tidak boleh dipandang sebagai soal perseorangan sahaja tetapi soal umat Islam seluruhnya yang wajib dicegah dan dihapuskan oleh pihak yang berkuasa yang bertanggungjawab menjalankannya.

Kedua - Tidak sah perkahwinan orang murtad,  sama ada ia sendiri kahwin atau dikahwini atau pun mengahwinkan orang lain, bahkan isterinya wajib dipisahkan daripadanya. Sekiranya ia kembali menjadi Islam semula sebelum habis idah,  maka kekallah isterinya itu menjadi isteri kepadanya, kalau tidak maka isterinya itu tercerai daripadanya mulai dari saat ia menjadi murtad.

Ketiga - Haram memakan sembelihannya.

Keempat - Tidak boleh menerima pusaka dan tidak boleh pula dipusakai bahkan semua hartanya dimasukkan ke dalam Baitulmal.