WAJIB BERIMAN KEPADA QADAR TAQDIR

Oleh kerana agama Islam ialah agama fitrah insaniah, maka tiap-tiap orang Islam hendaklah bersyukur kerana ia bertuah menerima taufik dari Allah s.w.t., hingga dengan itu ia menjadi seorang yang beragama Islam.

Oleh yang demikian hendaklah ia meneguhkan pegangannya kepada agama yang mulia itu dan memeliharanya dari segala apa yang boleh merosakkannya, kerana agama Islam sahajalah yang diredhai Allah dan yang menentukan nasibnya untuk mencapai kebahagiaan yang sebenar-benarnya, khasnya di akhirat kelak.

Mengenai perkara ini, Allah s.w.t., berfirman pada akhir ayat 132 Surah al-Baqarah, dan pada akhir ayat 102 Surah Ali-Imran, juga pada ayat-ayat 136 Surah al-Nisa', 86,87, 88 dan 89 Surah Ali-Imran.

Maksud akhir ayat 132 Surah al-Baqarah dan akhir ayat 102 Surah Ali Imran itu ialah:

Mewajibkan tiap-tiap seorang sentiasa menerima dan menghormati Islam (hukum-hukum yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.) pada i'tiqad dan segala tutur kata serta amal perbuatannya supaya apabila datang matinya pada bila-bila masa pun, ia berada dalam keadaan beragama Islam.

Dan maksud ayat 136 Surah al-Nisa' itu ialah:

(1) Mewajibkan tiap-tiap seorang menetapkan dan mengekalkan aqidah kepercayaannya hingga kepada saat ia menghembuskan nafasnya yang akhir, iaitu: Percayakan benarnya keEsaan Allah Taala, kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , adanya Malaikat yang menjalankan perintah Tuhan,  adanya kitab-kitab yang Tuhan turunkan untuk memandu manusia ke jalan kebahagiaan, adanya Rasul-rasul yang diutus Tuhan untuk menerangkan jalan yang tersebut, dan adanya hari akhirat untuk Tuhan Yang Maha Adil dan yang Amat Pemurah menyempurnakan balasan segala bawaan hidup manusia semasa masing-masing berada di dunia. 

(2) Menegaskan bahawa sesiapa yang tidak percayakan benarnya mana-mana satu dari perkara yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya di atas seseorang mempercayainya nescaya jauhlah ia daripada mendapat keselamatan dan kebahagiaan yang kekal abadi. 

Manakala maksud ayat-ayat 86-89 Surah Ali-Imran pula, ialah:

Memberi amaran dengan mengingatkan sesiapa yang berbalik menjadi kafir (Murtad) setelah ia percayakan keEsaan Allah,  kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. , dan kebenaran perkara-perkara yang disampaikan oleh Baginda s.a.w., maka tidaklah ada harapan bahawa orang itu akan dibalas baik oleh Allah,  bahkan dikutuknya dan dikenakan azab seksa yang berkekalan lamanya, kecuali ia bertaubat dan kembali kepada Islam serta memperbaiki segala apa yang telah merosakkan Islamnya.

Rasulullah s.a.w. pula menerangkan dalam hadis yang berikut:
134- عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ. (مسلم)

134- Dari Sufian bin Abdullah r.a., katanya: Aku berkata kepada Rasulullah s.a.w.: "Ya Rasulullah,  ajarkanlah daku mengenai agama Islam satu ajaran yang tak payah aku bertanya orang lain mengenainya"; Rasulullah s.a.w., bersabda: "Tegaskanlah dengan lidahmu akan kepercayaanmu kepada "Uluhiyyah" dan "Rububiyyah" Allah,  kemudian terus sempurnakanlah apa yang dikehendaki oleh kepercayaanmu itu hingga ke akhir hayatmu."

(Muslim)

Berdasarkan keterangan-keterangan yang tersebut, alim ulama mengambil kesimpulan: Bahawa tiap-tiap seorang wajib menjaga iman dan Islamnya dari sebarang i'tiqad, perkataan dan perbuatan yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam.

Rosaknya iman dan Islam dinamakan: "Riddah" yang diterangkan oleh ulama seperti berikut:

"Riddah" ertinya: Berbalik menjadi kafir setelah beragama Islam, dan orang yang melakukan yang demikian dinamakan "Murtad"

"Riddah" ialah seburuk-buruk dan sekeji-keji jenis kufur,  kerana "Orang Murtad" berlainan hukumnya dari orang-orang kafir yang lain pada beberapa perkara:

Pertama - Orang murtad tidak harus dibiarkan dalam keadaan "Riddahnya" melainkan hendaklah pihak yang berkuasa menyuruhnya bertaubat kembali kepada Islam, kalau tidak, hendaklah dikenakan hukuman bunuh, sebagaimana yang diterangkan oleh beberapa hadis yang berikut:

135- عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ. (الجماعة إلا مسلما)

135- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesiapa yang menukar agama Islamnya maka hendaklah kamu membunuhnya."

(Jamaah kecuali Muslim)


136- عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ اذْهَبْ إِلَى الْيَمَنِ ثُمَّ أتْبَعَهُ مُعَاذَ بْنَ جَبَلٍ فَلَمَّا قَدِمَ عَلَيْهِ أَلْقَى لَهُ وِسَادَةً قَالَ انْزِلْ وَإِذَا رَجُلٌ عِنْدَهُ مُوثَقٌ قَالَ مَا هَذَا قَالَ كَانَ يَهُودِيًّا فَأَسْلَمَ ثُمَّ تَهَوَّدَ قَالَ اجْلِسْ قَالَ لَا أَجْلِسُ حَتَّى يُقْتَلَ قَضَاءُ اللَّهِ وَرَسُولِهِ. وَلِأَبِي دَاوُدَ فِي هَذِهِ الْقِصَّةِ: فَأُتِيَ أَبُو مُوسَى بِرَجُلٍ قَدْ ارْتَدَّ عَنْ الْإِسْلَامِ فَدَعَاهُ عِشْرِينَ لَيْلَةً أَوْ قَرِيبًا مِنْهَا فَجَاءَ مُعَاذٌ فَدَعَاهُ فَأَبَى فَضَرَبَ عُنُقَهُ. (البخاري ومسلم)

136- Dari Abu Musa Al-'Asy'ari r.a., bahawa Nabi s.a.w., memerintahnya dengan bersabda: "Pergilah engkau ke negeri Yaman. " Kemudian Baginda s.a.w., menghantarkan Mu'az bin Jabal selepas pemergiannya; apabila Mu'az sampai ke tempat Abu Musa,  Abu Musa menyambutnya dengan memberikan sebiji bantal alas duduk serta berkata:  "Sila duduk", dan dekat situ ada seorang yang terikat;  Mu'az bertanya: "Apa orang ini?" Abu Musa menjawab:  "Orang ini seorang Yahudi,  ia masuk Islam kemudian ia berbalik menjadi Yahudi"; Mu'az berkata:  "Aku tidak akan duduk sehingga ia dibunuh, itulah hukuman Allah dan Rasul-Nya."

(Bukhari dan Muslim)

Dan pada riwayat  Abu Daud,  mengenai kisah ini: "Maka dibawa kepada Abu Musa seorang yang telah Murtad meninggalkan agama Islam, lalu disuruhnya (bertaubat dengan memeluk Islam semula) selama kira-kira dua puluh malam, kemudian datang Mu'az serta menyuruhnya juga bertaubat,  tetapi orang itu enggan, lalu dipenggal lehernya."

Hadis-hadis yang tersebut menerangkan bahawa:

(1) Sesiapa yang menjadi murtad:  Wajib dibunuh oleh pihak yang berkuasa selepas ia disuruh bertaubat kembali kepada Islam dan ia enggan berbuat demikian.

(2) Hukuman bunuh yang tersebut hendaklah dikenakan kepada tiap-tiap orang murtad sama ada lelaki atau perempuan,  sebagaimana yang terkandung pada hadis Mu'az bin Jabal yang ditegaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani bahawa sanadnya hasan, yang maksudnya: Tatkala Rasulullah s.a.w., mengutusnya ke negeri Yaman,  Baginda s.a.w., bersabda kepadanya: "Mana-mana lelaki yang menjadi murtad - meninggalkan Islam, maka suruhlah dia bertaubat kembali kepada Islam, jika ia kembali kepada Islam bebaskanlah dia) dan kalau tidak, maka penggallah lehernya; dan mana-mana perempuan yang menjadi murtad - meninggalkan Islam, maka suruhlah dia bertaubat kembali kepada Islam, jika ia kembali kepada Islam (bebaskanlah dia), dan kalau tidak, maka penggallah lehernya."

Hukuman yang dinyatakan oleh hadis-hadis yang tersebut telah pun dijalankan oleh sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w., di antaranya Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan Sayidina Ali r.a., semasa pemerintahan masing-masing.

Hukuman yang tersebut, tidak sekali-kali bertentangan dengan "dasar kebebasan beragama" atau dasar لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ (tidak ada paksaan dalam agama) yang ditegaskan oleh Allah Taala dalam al-Qur'an al-Karim, kerana tidak ada hubungannya sama sekali dengan soal orang murtad.