WAJIB BERIMAN KEPADA QADAR TAQDIR

Firman Allah Taala dalam Surah Ah Imran, ayat 26, di antara maksudnya: Menyuruh tiap-tiap orang mempercayai dan mengakui bahawa Allah s.w.t. dialah:

(1) Yang Memiliki dan yang menguasai segala jenis kuasa pemerintahan.

(2) Yang Memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang "Masyi'ah"(1)Nya, (undang-undang dan peraturan tadbir-Nya) menghendaki mendapat kuasa itu.

(3) Yang Melucutkan kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang "Masyi'ah"-Nya menghendaki terlucut kuasa daripadanya

(4) Yang Memberi kemuliaan  kepada sesiapa yang "Masyi'ah" menghendaki orang itu mendapat kemuliaan. 

(5) Yang Menghinakan sesiapa yang "Masyi'ah"-Nya menghendaki berlaku kehinaannya, dan

(6) Yang Amat Berkuasa melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya.

Dan lagi firman Allah Taala dalam Surah at-Taubah, ayat 51 di antara maksud-maksudnya: Menyuruh tiap-tiap orang mempercayai dan mengakui bahawa:

(1) Seseorang tidak menerima atau menanggung sesuatu perkara - baik atau buruk - melainkan apa yang Allah tetapkan berlaku kepadanya menurut qadar taqdir yang tertentu.

______________________________

(1) "Masyi'ah" Tuhan bererti:

Pertama - Ialah segala undang-undang dan peraturan yang disusun dan disediakan oleh Tuhan menurut kehendak kebijaksanaan-Nya untuk mengadakan yang belum ada dan meniadakan yang telah ada.

Kedua - "Masyi'ah" Tuhan ertinya: Kehendak kebijaksanaan Tuhan. 


(2) Tuhan Yang Maha Bijaksana sahajalah yang menguruskan hal ehwal makhluk-Nya serta menolong orang-orang mukmin menurut kehendak kebijaksanaan-Nya.

(3) Seseorang mukmin wajib menyerahkan serta mengembalikan hal ehwalnya kepada pentadbiran dan kekuasaan Allah sahaja (setelah ia menurut dengan sedaya upayanya akan segala undang-undang dan peraturan kejadian Allah serta hukum-Nya yang tidak sekali-kali memilih kasih atau mengambil hati sesiapa pun).

Dalam al-Qur'an banyak ayat-ayat yang menyatakan bahawa tiap-tiap satu dari alam kejadian ada baginya qadar taqdir yang meliputi ketetapan cara berlakunya, masanya, keadaannya dan hukum hakamnya.

Di antara ayat-ayat yang banyak itu. Ayat 3 Surah al-Talaq, ayat 8 Surah ar-Ra'd, ayat 49 Surah al-Qamar, ayat 38 Surah al-Ahzab, dan ayat 48 Surah al-Maidah, yang di antara maksud-maksudnya menyatakan bahawa:

(1) Allah s.w.t., dengan kehendak kebijaksanaan-Nya telah menentukan qadar taqdir-Nya bagi tiap-tiap sesuatu.

(2) Peta keadaan tiap-tiap sesuatu dan kadar masanya telah tetap dan tentu di sisi ilmu Tuhan. 

(3) Tiap-tiap sesuatu yang Allah kehendaki berlakunya, ada qadar taqdir yang ditentukan baginya.

(4) Tuhan menjadikan tiap-tiap sesuatu selaras dengan qadar taqdirnya dan

(5) Tiap-tiap satu umat manusia ditentukan Tuhan baginya satu syariat untuk sesuatu masa yang dikehendaki.

Nabi Muhammad s.a.w. , juga banyak menerangkan soal qadar taqdir Tuhan,  di antara keterangan- keterangannya s.a.w., hadis yang berikut:
130- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ… . (مسلم والترمذي)

130- Dari Abdullah bin `Amir bin Al-'Aas r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w., bersabda: Allah telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar taqdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut.

(Muslim dan Tirmizi)

Dengan hadis ini Rasulullah s.a.w., menerangkan:  Bahawa qadar taqdir bagi segala kejadian telah disediakan oleh Allah Taala, dan setelah Ia menjadikan qalam, Ia memerintahkan qalam supaya menulis,  lalu qalam bertanya - sebagaimana yang tersebut pada hadis `Ubadah bin al-Samit, r.a., yang diriwayatkan oleh Tirmizi: "Apakah perkara yang Tuhan perintahkan aku menulisnya?" Tuhan berfirman: "Tulislah qadar taqdir yang ditetapkan bagi segala yang telah ada dan yang telah berlaku, dan juga segala yang akan ada serta yang akan berlaku seterusnya."

Tentang wajibnya beriman dengan qadar taqdir, diterangkan oleh Rasulullah s.a.w., pada beberapa hadis,  di antaranya - selain daripada hadis yang ke 55 - ialah hadis-hadis yang berikut:

131- عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ عَبْدٌ حَتَّى يُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ حَتَّى يَعْلَمَ أَنَّ مَا أَصَابَهُ لَمْ يَكُنْ لِيُخْطِئَهُ وَأَنَّ مَا أَخْطَأَهُ لَمْ يَكُنْ لِيُصِيبَهُ. (الترمذي)

131- Dari Jabir, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Tidak dikira seseorang beriman sehingga ia percaya dan mengakui benarnya qadar taqdir, baiknya dan jahatnya, dan sehingga ia meyakini bahawa apa yang ditaqdirkan kena atau sampai kepadanya tidak sekali-kali akan menyimpang daripadanya; dan apa yang ditaqdirkan menyimpang daripadanya tidak sekali-kali akan kena atau sampai kepadanya."

(Tirmizi)

132- عَنْ ابْنِ الدَّيْلَمِيِّ قَالَ أَتَيْتُ أُبَيَّ بْنَ كَعْبٍ فَقُلْتُ لَهُ وَقَعَ فِي نَفْسِي شَيْءٌ مِنْ الْقَدَرِ فَحَدِّثْنِي بِشَيْءٍ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُذْهِبَهُ مِنْ قَلْبِي قَالَ… وَلَوْ أَنْفَقْتَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَا قَبِلَهُ اللَّهُ مِنْكَ حَتَّى تُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ وَتَعْلَمَ أَنَّ مَا أَصَابَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُخْطِئَكَ وَأَنَّ مَا أَخْطَأَكَ لَمْ يَكُنْ لِيُصِيبَكَ وَلَوْ مُتَّ عَلَى غَيْرِ هَذَا لَدَخَلْتَ النَّارَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ فَقَالَ مِثْلَ ذَلِكَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ حُذَيْفَةَ بْنَ الْيَمَانِ فَقَالَ مِثْلَ ذَلِكَ قَالَ ثُمَّ أَتَيْتُ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ فَحَدَّثَنِي عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ ذَلِكَ. (أبو داود)

132- Dari Ibn al-Dailami katanya: Aku telah pergi berjumpa Ubai bin Ka'ab, lalu aku berkata kepadanya: "Terlintas dalam hatiku sedikit kemusykilan mengenai soal qadar taqdir, maka terangkanlah kepadaku suatu hadis mengenainya semoga Allah menghilangkan kemusykilan itu dari hatiku"; Ubai berkata:  "... Dan kalaulah engkau dermakan pada jalan Allah emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan diterima Allah daripadamu sehingga engkau percaya dan mengakui benarnya qadar taqdir dan sehingga engkau meyakini bahawa yang telah ditaqdirkan kena atau sampai kepadamu tidak sekali-kali akan menyimpang daripadamu dan bahawa apa yang telah ditaqdirkan menyimpang daripada mu tidak sekali-kali akan kena atau sampai kepadamu dan kalaulah engkau mati dengan kepercayaan yang lain dari ini nescaya engkau masuk Neraka"; Kata Ibn al-Dailami lagi: Kemudian aku pergi berjumpa Abdullah bin Mas'ud, lalu ia menyatakan seperti itu; Kata Ibn al-Dailami lagi: Kemudian aku pergi berjumpa Huzaifah bin al-Yamaan maka ia pun menyatakan seperti itu juga; Kata Ibn al-Dailami lagi: Kemudian aku pergi berjumpa Zaid bin Thabit maka ia meriwayatkan kepadaku hadis dari Nabi s.a.w., yang seperti itu juga maksudnya."

(Abu Daud)

Apa dia "Qadar Taqdir" itu?

Qadar taqdir ialah segala undang-undang kejadian, peraturan sebab musabab dan hukum hakam yang disusun, diatur dan disediakan oleh Allah menurut ketetapan ilmu-Nya dan kehendak kebijaksanaan-Nya serta penentuan iradat-Nya untuk melaksanakan pentadbiran alam seluruhnya.

Segala-segalanya itu telah disempurnakan Tuhan pada azali serta diputuskan hukum berjalan kuat kuasanya pada bila-bila yang ia kehendaki.

Qadar taqdir mempunyai hubungan yang rapat dengan qadha Tuhan bahkan ada kalanya apabila disebut "Qadar taqdir" misalnya, maka termasuklah "Qadha" yang azali,  seperti yang tersebut dalam hadis yang telah lalu, mengenai "Qalam menulis akan qadar taqdir".

Demikian juga apabila disebut "Qadha yang azali" maka termasuklah "Qadar taqdir Tuhan" seperti yang terkandung dalam hadis Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Tirmizi, yang maksudnya:

Setelah Allah Taala qadhakan (putuskan hukum berjalannya qadar taqdir) pentadbiran makhlukNya, Ia tetapkan pada kitab hukum-Nya yang tersimpan di atas `Arasy: Satu hukum, iaitu: "Sesungguhnya rahmatKu mendahului kemurkaanKu".

Apa ertinya "Qadha'" itu?

"Qadha'" menurut bahasa al-Qur'an banyak maknanya dan qadha yang menjadi pasangan bagi "qadar taqdir" mempunyai dua makna:

(1) Bermakna: Memutuskan hukum, seperti yang tersebut pada ayat:  وَقَضَى رَبُّكَ .. ayat 23 Surah al-Isra', yang bererti: "Dan Tuhanmu telah memutuskan hukum wajib menyembahNya sahaja, jangan menyembah yang lain daripada-Nya dan wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapa, jangan menyakitinya ..."

(2) Bermakna: Melaksanakan qadar taqdir, seperti yang tersebut pada ayat   لِيَقْضِيَ اللَّهُ أَمْرًا كَانَ مَفْعُولًا ayat 44 Surah al-Anfal; yang bererti: Supaya Allah melaksanakan qadar taqdir, perkara yang telah ditentukan berlakunya".

Apa ertinya beriman kepada Qadar Taqdir?

Beriman kepada qadar taqdir ialah berusaha menjalankan segala undang-undang,  peraturan dan hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t., pada azali serta diputuskan hukum berjalannya apa yang ditetapkan itu.

Allah Taala telah pun memutus dan menetapkan bagi tiap-tiap satu natijah ada pendahuluannya dan bagi tiap-tiap suatu musabab ada sebabnya serta bagi tiap-tiap satu tujuan ada jalan untuk mencapainya.

Dengan yang demikian, sesiapa yang menunggu berhasilnya sesuatu dengan tidak melalui sebab, pendahuluan dan jalan mencapainya yang ditetapkan dan ditentukan oleh Allah,  bermakna ia kufur,  tidak beriman kepada qadar taqdir dan qadha' yang azali. 

Dengan penjelasan yang tersebut, maka orang yang beriman kepada qadar taqdir dan qadha Tuhan,  ialah orang yang rajin berusaha dan beramal mengikut undang-undang, peraturan dan hukum-hukum Tuhan,  dan giat mencari qadar taqdir yang menjayakan maksudnya:

Oleh itu. tidaklah patut seseorang berdalih dengan "Soal qadha' dan qadar" apabila ia cuai melaksanakan apa yang Tuhan jadikan sebab atau jalan mencapai sesuatu maksud, kerana qadha' dan qadar itu tidak terdapat padanya selain daripada menentukan hukum dan peraturan serta mengikat sebab dengan musabab yang menjadi asas bagi semua kejadian, asas bagi semua syariat, serta asas bagi hisab dan balasan. 

Kalaulah benar dalihan orang yang demikian, nescaya sia-sialah Tuhan mengutuskan Rasul-rasul-Nya dan menurunkan kitab-kitabNya, yang mengajak manusia kepada mematuhi ajaran agama Allah dan menjalankan segala usaha yang menyebabkan kebaikan dan kebahagiaan manusia. 

Memang benar,  "untung nasib" yang akan didapati oleh seseorang dengan pilihan dan ikhtiarnya sendiri sama ada baik atau buruk,  iman atau kufur,  sedia diketahui oleh Allah pada azal,  tetapi pengetahuan Allah yang demikian tidak menjadikan orang itu dipaksa melakukan apa yang diketahui oleh Allah `Azza wa Jalla, kerana ilmu Allah ialah satu sifat yang dengannya segala sesuatu terdedah kepada-Nya semenjak dari azali lagi, iaitu segala sesuatu yang akan berlaku, meliputi hakikatnya, kemahuannya, dan apa yang dipilih oleh manusia dengan iradat yang dikurniakan Tuhan kepadanya, juga apa yang dilakukan oleh manusia dengan ikhtiarnya akan apa yang dipilihnya itu.

Misalnya, apabila Allah mengetahui dengan ilmu-Nya bahawa si anu akan memilih perbuatan zina dan akan melakukan zina itu dengan ikhtiarnya, maka apa yang dipilih dan dilakukan oleh Si anu itu adalah perkara yang tepat dengan apa yang diketahui oleh Allah Taala pada azal,  tetapi ilmu Allah itu tidak mengikat si anu supaya memilih dan melakukan perbuatan zina yang tersebut.

Hakikat ini sayugia, difahami dengan sebaik-baiknya supaya tidak timbul sebarang kemusykilan mengenai keadilan Tuhan.

Ini berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan berkuasa melakukan perkara yang baik dan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang buruk,  juga berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan bebas memilih sesuatu bagi dirinya.

Jelasnya, tiap-tiap seorang mempunyai iradat (kemahuan memilih), dan qudrat (kuasa melakukan), yang Allah tidak menjadikan keduanya pada diri manusia dengan sia-sia sahaja, bahkan Tuhan menjadikan keduanya tempat bergantungnya tanggungjawab menyempurnakan perintahNya, juga asas yang membolehkan perbuatan seseorang itu disandarkan kepadanya.

Dengan yang demikian, maka terserahlah kepada manusia memilih dan melakukan apa yang dipilihnya itu sama ada baik atau buruk,  dan Tuhan hanya melaksanakan apa sahaja qadar taqdir yang dipilih oleh seseorang.

"Qadar taqdir Tuhan" yang berhubung dengan manusia terbahagi kepada tiga bahagian: 

Bahagian yang pertama
- "Qadar taqdir Tuhan" yang tidak dapat ditolak, kerana manusia tidak diberi kuasa dan daya upaya untuk menahannya daripada berlaku.

Misalnya: "Qadar taqdir" bentuk tubuh badan seseorang dan warna kulitnya; qadar taqdir jadi lelaki atau perempuan;  qadar taqdir tempat lahir seseorang dan tempat matinya.

Demikian juga qadar taqdir ditimpa kemalangan secara mengejut, karam di laut dan sebagainya.

Demikian juga qadar taqdir tidak berhasil apa yang telah dirancang dan diusahakan oleh seseorang dengan sehabis-habis daya upayanya, atau sebaliknya qadar taqdir seseorang mendapat kekayaan atau pangkat yang tidak difikirkan mendapatnya.

"Qadar taqdir" bahagian ini ialah satu dari ujian-ujian Tuhan untuk menguji seseorang: Setakat manakah sabarnya dan sebanyak manakah syukurnya apabila ia menerima ujian atau menerima nikmat Tuhan.

Bahagian yang kedua
- "Qadar taqdir Tuhan" yang kita kena menerima wujudnya pada diri kita, iaitu qadar taqdir adanya perasaan semula jadi,  yakni segala perasaan yang diberi Tuhan pada diri kita semenjak kita lahir ke dunia,  seperti perasaan hendak makan minum,  perasaan hendak memelihara diri, perasaan hendak berhubung jenis, perasaan hendak bercampur gaul dan lain-lain lagi.

Perasaan semula jadi inilah yang menggerakkan seseorang berfikir dengan cara yang tertentu, bercakap dengan gaya yang tertentu, dan bertingkah laku dengan ragam yang tertentu.

Qadar taqdir ini sungguhpun kita kena menerima adanya pada diri kita, kenalah kita menjaganya dan membetulkan perjalanannya dengan undang-undang dan peraturan yang telah Tuhan taqdirkan untuk berbuat demikian.

Misalnya:

(1) Perasaan hendak bercampur gaul:

Perasaan ini kenalah kita betulkan perjalanannya memakai undang-undang yang tersebut pada ayat 140 Surah an-Nisa', dan ayat 70 Surah al-An'am, yang maksudnya:

"Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah tidak diakui benarnya oleh mana-mana puak dan mereka mempersendakannya, maka hendaklah kamu menarik diri dari kumpulan puak itu, jangan kamu duduk bersama-sama mereka sehingga mereka memperkatakan perkara yang lain; kalau tidak, kamu sama berdosa seperti mereka. Demikian juga jangan kamu bercampur gaul lagi dengan orang-orang yang menjadikan perkara agama mereka permainan dan hiburan;  juga orang-orang yang terpedaya dan leka dengan keadaan hidup di dunia sehingga mereka lupakan cara hendak hidup di akhirat kelak."

(2) Perasaan hendak makan minum: 

Perasaan ini kenalah kita betulkan perjalanannya dengan memakai undang-undang yang diterangkan pada ayat 168 surah al-Baqarah, dan ayat 31 surah al-A'raf, yang maksudnya:

"Wahai manusia!  Makanlah dari apa yang ada di bumi - benda-benda yang halal lagi baik dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan dan orang-orang yang bersifat syaitan;  syaitan suka menghalalkan apa yang Tuhan haramkan. Syaitan pula menjadi musuh yang nyata bagi kamu semenjak bapa kamu - Adam - berada di dalam Syurga dahulu. Makan dan minumlah apa yang kamu suka dengan syarat janganlah kamu melampaui,  iaitu janganlah kamu melampaui undang-udang kesihatan jasmani dan rohani, undang-undang perbelanjaan dan undang-undang masyarakat yang sihat."

(3) Perasaan hendak berhubung jenis.

Perasaan ini hendaklah kita betulkan perjalanannya dengan memakai undang-undang yang terkandung dalam ayat 32 Surah al-Isra', yang maksudnya:

"Janganlah kamu menghampiri zina - apa lagi melakukannya - kerana sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang sangat keji dan menjadi sejahat-jahat jalan yang membawa kepada kerosakan rumah tangga dan masyarakat dan membawa kepada kesusahan serta azab di dunia dan di akhirat."

Qadar taqdir yang juga termasuk dalam bahagian yang kedua ini ialah qadar taqdir mengenal perbuatan yang berdosa,  atau mengenai sesuatu penyakit yang menimpa, maka kenalah seseorang itu berusaha membersihkan dirinya daripada dosa atau penyakitnya dengan mana-mana satu qadar taqdir yang Tuhan telah tentukan untuk berbuat demikian.

Mengenai perbuatan yang berdosa,  maka kenalah orang itu memakai cara qadar taqdir yang diterangkan oleh Nabi s.a.w., dengan sabdanya yang bermaksud: 

"Iringilah kejahatan yang telah dilakukan itu dengan kebaikan yang berupa taubat atau lainnya, supaya kebaikan yang tersebut menghapuskan kejahatan itu."

Mengenal penyakit pula, maka kenalah orang itu memakai qadar taqdir yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w., dengan sabdanya yang bermaksud: 

"Berubatlah wahai hamba Allah!  kerana Allah tidak taqdirkan sesuatu penyakit melainkan Ia taqdirkan ubatnya bersama,  tinggal lagi ada orang yang mengetahui ubat itu dan ada pula yang tidak mengetahuinya."

Bahagian yang ketiga
- Qadar taqdir yang diberikan kita kebebasan memilihnya, tetapi kita diberitahu supaya memilih qadar taqdir yang mendatangkan manfaat dan kesudahan yang baik,  jangan memilih qadar taqdir yang mendatangkan mudharat dan akibat yang buruk.

Kita diberitahu supaya memilih: 

(1) Qadar taqdir yang memberi kita mendapat ilmu yang berguna di dunia dan di akhirat; jangan memilih qadar taqdir yang menjadikan kita jahil atau mendapat ilmu yang tidak berguna.

(2) Qadar taqdir yang memberi kita iman dan kepercayaan yang teguh,  dan tetap serta benar;  jangan memilih qadar taqdir yang menjadikan kita menerima pembawaan syirik dan khurafat.

(3) Qadar taqdir yang memberi kita kesihatan dan kecergasan; jangan kita memilih qadar taqdir yang menyebabkan kita segan dan malas.

(4) Qadar taqdir yang memberi kita penghidupan yang mewah lagi baik,  jangan memilih qadar taqdir yang membawa kita kepada kesempitan hidup atau keadaan yang buruk.

(5) Qadar taqdir yang menyebabkan kita bertingkah-laku dengan akhlak yang terpuji;  jangan memilih qadar taqdir yang menyebabkan kita berkelakuan buruk, hina dan keji. 

(6) Qadar taqdir yang menolong kita membangunkan masyarakat yang aman damal; jangan memilih qadar taqdir yang membawa kepada bermusuhan dan keadaan yang membahayakan.

(7) Qadar taqdir yang menyebabkan tubuh badan dan tenaga kekuatannya tahan lama - untuk berbakti kepada Tuhan; jangan memilih qadar taqdir yang menyebabkan tubuh badan dan tenaga kekuatannya cepat susut dan segera runtuh. 

(8) Qadar taqdir yang menyebabkan kita terpelihara dan terselamat dari kemalangan atau penderitaan dunia akhirat; jangan memilih qadar taqdir yang membawa kita kepada perkara-perkara yang tidak dingini dan merugikan.

(9) Qadar taqdir yang menyebabkan kita boleh mempertahakankan hak dan kebenaran,  menggerunkan musuh dan menewaskannya; jangan memilih qadar taqdir yang menjadikan perkara yang hak diperhina, kebenaran dikeji, dan musuh berani dan bermaharajalela. 

(10) Qadar taqdir yang menyebabkan kita gemar menyediakan segala bekalan yang menyenangkan kita dalam masa musafir,  berhenti dan tinggal menetap terus di akhirat; jangan memilih qadar taqdir yang menjadikan seseorang terlantar susah apabila ia terpaksa musafir kerana tempuh khidmatnya di sini sudah cukup.

Sayugia diketahui bahawa sebagaimana kita dituntut memilih kadar taqdir yang baik,  jangan yang buruk,  kita juga disuruh menolak satu-satu qadha' taqdir yang tidak diingini dengan qadar taqdir yang ditentukan untuk menolaknya, seperti qadha' taqdir sakit, disuruh kita menolaknya dengan qadar taqdir berubat; qadha' taqdir lapar dengan qadar taqdir makan. 

Kita disuruh berbuat demikian, walau pun di samping itu kita disuruh redhakan qadha' taqdir Tuhan.

Kalau begitu, apa pula ertinya redha kepada qadha taqdir Tuhan?

Redha kepada qadha taqdir Tuhan, ertinya. Menghadapi sesuatu qadha taqdir yang berlaku dengan tidak ada perasaan membantah pelaksanaan Tuhan bahkan dengan perasaan tentang tenteram,  tetapi kalau qadha taqdir yang berlaku itu dari perkara-perkara yang dimurkai Tuhan, seperti kufur dan maksiat,  maka wajiblah orang yang berkenaan kesalkan kecuaiannya dan bencikan perkara itu serta berusaha menjalankan qadar taqdir yang menyelamatkannya dari kemurkaan Allah; dan kalau qadha taqdir yang berlaku itu dari perkara-perkara yang Tuhan timpakan untuk menguji seseorang, seperti kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda dan kegagalan untuk mencapai sesuatu maksud, maka selain daripada menerima qadha taqdir yang berlaku itu dengan perasaan tenang tenteram, wajiblah orang itu bersabar sambil melafaz dan mentahqiqkan ke dalam jiwanya erti:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

(Ayat 156, Surah al-Baqarah), dan erti hadis Usamah bin Zaid yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang di antara maksud-maksudnya:

"Apabila seseorang menghadapi sesuatu qadha taqdir yang tidak disukai oleh perasaan dan nafsunya maka hendaklah ia bersabar dan berharap dapat pahala dari Allah s.w.t., kerana segala-galanya adalah hak milik sama ada yang diambilnya atau yang diberinya, lagi pula Tuhan tetapkan bagi tiap-tiap sesuatu: Masanya dan cara berlakunya, serta hendaklah mencari seberapa yang boleh jalan keluar dengan mana-mana qadar taqdir yang ditentukan Tuhan untuk berbuat demikian dan jangan sekali-kali berdiam diri sahaja. Jangan pula merungut dengan berkata:  "Kalaulah aku lakukan anu, anu tentulah tidak terjadi apa yang telah berlaku ini"; kerana perkataan "Kalau" pada perkara yang telah berlaku tidak ada gunanya untuk menentang perkara yang telah terjadi itu, dan perangai berdiam diri serta rungutan yang tersebut adalah sikap orang yang penyegan pemalas, pada hal sikap segan dan malas mengenai perkara-perkara boleh diusahakan adalah satu sikap yang dibenci oleh Allah dan Rasul bahkan kata-kata rungutan yang tersebut mengandungi pengertian bahawa qadar taqdir yang ditentukan Tuhan berlakunya, bolehlah dihalang satu-satu cara yang difikirkan oleh manusia."

Pengertian yang sedemikian bukan sahaja bermakna redhakan qadar taqdir Tuhan, bahkan bermakna kufurkan qadar taqdir yang ditentukan Tuhan.

Hakikat ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w., dalam hadis berikut:
133- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ. (مسلم)

133- Dari Abu Hurairah, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Orang mukmin yang kuat lebih baik kepada Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedang tiap-tiap seorang ada kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperolehi apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan jika sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata:  "Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu", tetapi katalah: "Allah telah taqdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan', kerana perkataan "kalau" itu membuka jalan kepada hasutan syaitan. "

(Muslim)

Hadis ini menerangkan bahawa:

(1) Orang-orang mukmin masing-masing ada kebaikannya iaitu imannya, tetapi setengahnya ada yang kuat semangat keagamaannya, tinggi himahnya, luas dan jauh pemandangannya, tabah dan cekal hatinya, serta kuat berusaha untuk kebaikan agamanya, dirinya, umatnya dan tanah airnya; manakala setengahnya yang lain adalah sebaliknya.

Orang mukmin yang bersifat dengan sifat-sifat yang terpuji itu lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah. 

(2) Tiap-tiap seorang mukmin hendaklah bersungguh-sungguh berusaha memperolehi perkara-perkara yang mendatangkan manfaat sambil meminta pertolongan kepada Allah Taala supaya dengan ihsan-Nya memberi taufik dan menjayakannya, kerana manusia,  walau bagaimana bijak dan kuat,  berhajat kepada pertolongan dan pimpinan Tuhan.

(3) Tiap-tiap seorang mukmin tidaklah patut bersikap segan dan malas bekerja dan hanya berangan-angan bahawa Tuhan akan menyampaikan maksudnya dengan alasan: Tuhan amat berkuasa, pada hal Tuhan telah tentukan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.

(4) Setelah seseorang itu bersungguh-sungguh mencari jalan untuk mencapai maksudnya, serta berusaha dengan sedaya upayanya menurut jalan yang diketahuinya, tiba-tiba perkara yang diusahakan itu tidak juga berhasil, maka pada saat yang demikian, tidak ada jalan baginya untuk menghadapi qadha taqdir yang berlaku itu, melainkan menghadapinya dengan perasaan tenang tenteram serta berkata sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w., dalam hadis yang tersebut, yang maksudnya: "Perkara ini telah ditaqdirkan Tuhan dan apa yang telah ditentukan oleh kehendak kebijaksanaan-Nya tetap berlaku," sambil ia berusaha lagi mencari jalan untuk menjayakan maksudnya.

(5) Perkataan "kalau" jangan disebut oleh seseorang yang telah gagal daripada mencapai maksudnya atau mengalami kerugian,  kerana perkataan "kalau" sebagaimana yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w., akan membuka jalan kepada hasutan syaitan,  yakni akan menjadikan orang itu resah gelisah,  duka nestapa dan tidak redha kepada qadha taqdir Tuhan Yang Maha Bijaksana. 

Kesimpulannya:

Menurut keterangan al-Qur'an al-Karim bahawa Allah Taala telah mencipta manusia dan melengkapkannya dengan segala persediaan yang menjadikan dia dapat memilih kebaikan dan melakukannya, juga dapat memilih kejahatan dan melakukannya. (2-3 Surah al-Insan; 10 Surah al-Balad,  dan 7-10 Surah al-Syams).

Jelasnya, manusia mempunyai persediaan untuk menjadikan dirinya mencapai kebahagiaan dengan amal-amalnya yang salih, juga menjadikan dirinya terjerumus ke lembah kecelakaan dengan amal-amalnya yang jahat. 

Amal-amal salehnya ialah amal-amal bakti yang mendatangkan manfaat kepadanya dan kepada masyarakatnya di dunia ini serta diredhai Allah pada hari akhirat kelak, dan amal-amal jahatnya ialah perbuatannya yang buruk yang membahayakan dirinya dan menyakiti makhluk-makhluk Allah yang lain serta menyebabkan dia dimurkai Allah. 

Dengan keadaan yang demikian, nyatalah bahawa manusia mempunyai kebebasan dan ikhtiar memilih;  ia mengerjakan perkara yang baik dengan pilihannya sendiri maka ia diberi pahala,  dan ia melakukan perkara yang jahat dengan pilihannya sendiri maka ia dibalas dengan azab siksa.

Manusia - dengan sifat-sifatnya yang tersebut - dipertanggungjawabkan oleh Allah Taala supaya mengerjakan perintah-Nya dan diutuskan kepadanya Rasul-rasul-Nya yang menyampaikan ajaran-ajaran agama-Nya. Rasul-rasul itu pula menyampaikan berita gembira kepada orang-orang yang taat dengan balasan yang sebaik-baiknya dan memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab seksa.

Setelah itu, Allah Taala membiarkan manusia memilih untuk dirinya apa yang dipilihnya, sama ada perkara yang disuruh Allah atau yang dilarang-Nya, dan Allah s.w.t., tidak menghalang manusia daripada melakukan apa yang telah dipilih untuk dirinya, tetapi Allah memudahkan perkara yang baik bagi orang yang memilih kebaikan itu dan memudahkan perkara yang buruk bagi orang yang memilihnya; (5-10 Surah Al-Lail).

Oleh itu, hakikat ini perlu disedari dan difahami dengan sebaik-baiknya. Janganlah seseorang cuba melepaskan diri daripada kesalahan yang dilakukannya dengan berdalih dengan qadha' taqdir Tuhan,  sedang ia sendiri cuai menunaikan tanggungjawabnya, atau Ia sendiri menyeleweng dari apa yang diperintahkan oleh Allah mengenal i'tiqad kepercayaan dan amal perbuatan,  kerana tidak ada dalam qadha' dan taqdir itu selain daripada hukum Allah dan susunan peraturan-Nya, yakni bahawa Allah Taala dengan kehendak kebijaksanaan-Nya telah mentaqdirkan dan memutuskan bahawa jalan untuk mencapai sesuatu "Musabab" sama ada hidayat pertunjuk atau kesesatan,  kebaikan atau kejahatan,  ialah dengan melalui "Sebab-sebabnya", dan bahawa Allah Taala dengan kehendak kebijaksanaan-Nya telah mentaqdirkan dan mengatur - untuk alam al-wujud ini - peraturan-peraturan yang rapi, dan undang-undang yang berpanjangan dan selari,  yang mengikat segala "Sebab" dengan "Musabab", dan segala "Pendahuluan" dengan "Natijahnya", serta segala "Jalan atau Cara" dengan "Tujuan" yang hendak dicapai.

Dengan yang demikian, maka di antara faedah-faedah beriman kepada qadha Allah dan taqdir-Nya ialah mencari dan mengkaji perkara-perkara yang menjadi sebab, pendahuluan dan cara atau jalan yang tersebut, juga mengenal dan mempelajari undang-undang dan peraturan kejadian Tuhan,  kemudian berusaha menurut undang-undang dan peraturan itu.

Ada pun sikap menunggu-nunggu berhasilnya sesuatu yang baik,  atau hapusnya sesuatu yang buruk,  dengan tidak berusaha melalui sebab-sebab dan undang-undangnya, maka yang demikian bukanlah beriman kepada qadha dan qadar, tetapi kufur ingkar kepada keduanya.

Oleh itu. tiap-tiap orang mukmin hendaklah berusaha menjalankan apa yang telah ditaqdirkan dan diputuskan oleh Allah Taala untuk menjadi asas bagi kemuliaan hidup, keuntungannya dan balasan baiknya, serentak dengan itu hendaklah ia menjauhkan din daripada apa yang ditaqdirkan dan diputuskan oleh Allah Taala sebagai sebab bagi kehinaan hidup, kerugiannya dan balasan buruknya.

Mudah-mudahan dengan cara yang tersebut serta dengan sentiasa memohon pertolongan Allah Taala, dapatlah seseorang mukmin mencapai maksud-maksudnya yang suci murni dengan keadaan yang cukup sempurna