BERIMAN KEPADA ADANYA HARI AKHIRAT

Pertama - Kampung yang disediakan oleh Tuhan yang Maha Adil untuk kediaman orang-orang kafir dan orang-orang yang berdosa menerima azab siksanya, iaitu kampung yang dinamakan "Jahanam" dan dikenal dengan nama "Neraka".

Neraka itu mempunyai tujuh lapisan dan tiap-tiap satu lapisan diuntukkan bagi satu puak yang tertentu; (43-44, Surah al-Hijr); dan bahan bakaran apinya ialah manusia,  batu dan jin; (24 Surah,  al-Baqarah, dan 15 Surah al-Jin).

Kekuatan panas api Neraka itu tujuh puluh kali kepanasan api yang digunakan di dunia ini,  sebagaimana diterangkan oleh hadis yang berikut:

121- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَارُكُمْ هَذِهِ الَّتِي يُوقِدُ ابْنُ آدَمَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ حَرِّ جَهَنَّمَ قَالُوا وَاللَّهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةً يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَإِنَّهَا فُضِّلَتْ عَلَيْهَا بِتِسْعَةٍ وَسِتِّينَ جُزْءًا كُلُّهَا مِثْلُ حَرِّهَا. (البخاري ومسلم والترمذي)

121- Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak Adam di dunia ini hanyalah sepertujuh puluh kepanasan api Neraka Jahanam." Sahabat-sahabat Baginda berkata:  "Demi Allah!  Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyeksa. " Baginda s.a.w., bersabda: "Meskipun demikian, kepanasan Neraka jahanam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak enam puluh sembilan bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini. "

(Bukhari, Muslim dan Tirmizi)

Makanan ahli Neraka ialah pokok "Zaqqum", (43-44 Surah,  ad-Dukhan) dan minuman mereka dari air danur dan air yang sangat panas yang memutus dan menghancurkan tali perut; (16 Surah Ad-Dukhan dan 15 Surah Muhammad).

Air buah Zaqqum itu - selain daripada pahit rasanya dan busuk baunya - adalah seperti tahi minyak kotor,  dan mendidih dalam perut seperti mendidihnya air yang sangat panas: (45-46 Surah al-Dukhan).

Rasulullah s.a.w. menerangkan keburukan "Zaqqum" itu dalam hadis yang berikut:
122- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ هَذِهِ الْآيَةَ اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّ قَطْرَةً مِنْ الزَّقُّومِ قُطِرَتْ فِي دَارِ الدُّنْيَا لَأَفْسَدَتْ عَلَى أَهْلِ الدُّنْيَا مَعَايِشَهُمْ فَكَيْفَ بِمَنْ يَكُونُ طَعَامَهُ. (الترمذي)

122- Dari Ibn Abbas ra., bahawa Rasulullah s.a.w., telah membaca (firman Allah dalam ayat suci ini, ertinya: "Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu berkeadaan Islam"); kemudian Nabi s.a.w., bersabda: "Kalaulah setitik air buah zaqqum itu menitik ke dalam dunia ini nescaya ia merosakkan penghidupan penduduk bumi, maka betapa halnya orang yang buah zaqqum itu menjadi makanannya."

(At-Tirmizi)

Demikian keadaan kampung yang pertama.

Kampung yang kedua pula, yang disediakan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah bagi kediaman hamba-hambaNya yang soleh menikmati segala kesenangan dan kelazatan, ialah kampung yang dinamakan "Jannah" atau "Syurga", iaitu kampung yang boleh didapati padanya segala perkara yang diingini oleh nafsu dan yang sedap dipandang oleh mata;  (71 Surah Az-Zukhruf); juga kampung yang ada padanya perkara-perkara yang tak pernah dipandang oleh mata,  tak pernah didengar oleh telinga dan tak pernah terlintas di hati manusia; 

(Hadis Bukhari dan Muslim).

Pendeknya, segala kesenangan, kesukaan dan kelazatan yang disediakan Tuhan untuk hamba-hamba-Nya yang saleh menerimanya di kampung yang tersebut, tidak dapat diperikan dengan tepatnya oleh sesiapa pun; (17, Surah as-Sajadah).

Ada pun nas-nas - keterangan - yang menyatakan nikmat Syurga dengan menyebut makanan yang lazat, minuman yang sedap, buah-buahan yang nyaman, hamparan yang berseri, perabot yang indah, pelayan dan bidadari yang cantik jelita dan beradab sopan,  maka semuanya itu hanya memberi gambaran sekadar yang boleh difaham oleh manusia mengikut apa yang ada di dalam masyarakatnya untuk menggalakkan mereka bergiat mengesahkan aqidah kepercayaan dan membanyakkan amal ibadat mereka kepada Allah s.w.t., Demikian juga nas-nas yang menyatakan "Niqmat-niqmat" Neraka (azab seksa) dengan menyebut perkara-perkara yang berlawanan dengan nikmat Syurga itu hanya untuk mencegah manusia daripada merosakkan fitrah kemanusiaannya dengan menjerumuskan diri ke dalam lautan kufur dan kederhakaan.

Maka di sebalik kenyataan dan gambaran itu ada perkara-perkara dan barang-barang yang sebenar yang akan dapat dipastikan oleh tiap-tiap seorang apabila ia menerimanya kelak.

Ahli Syurga - selain daripada bergembira dengan nikmat kebendaan dan jasmani, mereka berbahagia pula dengan nikmat kejiwaan dan rohani.

Tentang ini Tuhan menyatakan pada awal ayat 26 Surah Yunus: Bahawa orang-orang yang berusaha memperbaiki bawaan hidupnya hingga menjadi amal-amal soleh yang diterima Tuhan,  dikurniakan balasan yang terbaik (Syurga) serta satu tambahan yang tidak ternilai, iaitu dapat memandang; wajah Allah s.w.t.

Dan pada akhir ayat 72 Surah al-Taubah, Tuhan menyatakan: Bahawa keredhaan yang didapati dari Allah s.w.t., sekalipun sedikit adalah lebih besar dari segala nikmat yang lain; serta menyatakan bahawa keredhaan yang tersebut ialah kejayaan yang besar.

Nabi Muhammad s.a.w. , pula menerangkan nikmat kebahagiaan yang tidak ada taranya itu dengan hadis-hadis yang berikut:

123- عَنْ صُهَيْبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَلَا هَذِهِ الْآيَةَ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَقَالَ إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ وَأَهْلُ النَّارِ النَّارَ نَادَى مُنَادٍ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ إِنَّ لَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ مَوْعِدًا يُرِيدُ أَنْ يُنْجِزَكُمُوهُ فَيَقُولُونَ وَمَا هُوَ أَلَمْ يُثَقِّلْ اللَّهُ مَوَازِينَنَا وَيُبَيِّضْ وُجُوهَنَا وَيُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَيُنْجِنَا مِنْ النَّارِ قَالَ فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَيَنْظُرُونَ إِلَيْهِ فَوَاللَّهِ مَا أَعَطَاهُمْ اللَّهُ شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنْ النَّظَرِ إِلَيْهِ وَلَا أَقَرَّ لِأَعْيُنِهِمْ. (مسلم والترمذي وأحمد)

123- Dari Suhaib r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., membaca firman Allah dalam ayat ini, ertinya: "Bagi orang-orang yang berbuat baik diberi balasan yang sebaik-baiknya (Syurga) dan satu tambahan lagi."), dan sesudah itu Baginda s.a.w. bersabda: "Apabila ahli Syurga masuk Syurga dan ahli Neraka masuk Neraka,  menyerulah penyeru katanya: "Wahai ahli Syurga!  Sesungguhnya ada untuk kamu satu perkara yang dijanjikan kepada kamu di sisi Allah yang ia hendak menunaikannya"; mereka bertanya: "Apa dia perkara itu? Bukankah Tuhan telah memberatkan timbangan amal baik kami, bukankah Ia telah menyerikan muka kami dan memasukkan kami ke dalam Syurga serta menjauhkan kami dari Neraka?  Baginda s.a.w., bersabda: "Maka pada saat itu dibukakan hijab kepada mereka lalu mereka melihatNya; demi Allah!  Tidak ada sesuatu yang Allah kurniakan di sukai oleh mereka lebih daripada melihatNya dan tidak ada yang mententeramkan hati mereka lebih daripada itu."

(Muslim Tirmizi dan Imam Ahmad)

124- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَقُولُ لِأَهْلِ الْجَنَّةِ يَا أَهْلَ الْجَنَّةِ فَيَقُولُونَ لَبَّيْكَ رَبَّنَا وَسَعْدَيْكَ فَيَقُولُ هَلْ رَضِيتُمْ فَيَقُولُونَ وَمَا لَنَا لَا نَرْضَى وَقَدْ أَعْطَيْتَنَا مَا لَمْ تُعْطِ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ فَيَقُولُ أَنَا أُعْطِيكُمْ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ قَالُوا يَا رَبِّ وَأَيُّ شَيْءٍ أَفْضَلُ مِنْ ذَلِكَ فَيَقُولُ أُحِلُّ عَلَيْكُمْ رِضْوَانِي فَلَا أَسْخَطُ عَلَيْكُمْ بَعْدَهُ أَبَدًا. (البخاري ومسلم والترمذي والإمام مالك)

124- Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Rasulullah s.a.w., bersabda: Sesungguhnya Allah `Azza wa Jalla berfirman kepada ahli Syurga:  "Wahai ahli Syurga! " Mendengarkan yang demikian, mereka menjawab:  "Kami sentiasa menyahut seruan-Mu ya Tuhan kami dan sentiasa memuliakan-Mu sedang segala kebaikan tetap dalam kekuasaan-Mu!" Tuhan berfirman lagi: "Adakah kamu berpuas hati dengan balasan nikmat Syurga yang ada ini?" Mereka menjawab:  "Mengapa pula kami tidak berpuas hati ya Tuhan kami, sedang Engkau telah mengurniakan kami dengan pemberian-pemberian yang tidak pernah Engkau berikan kepada sesiapa pun dari makhluk-makhluk Yang Engkau jadikan?" Mendengarkan itu, Tuhan berfirman: "Mahukah Aku berikan kepada kamu yang lebih baik dari itu?" Bagi menjawab pertanyaan itu mereka pula bertanya: "Apa dia yang lebih baik dari itu?" Allah Taala berfirman: "Aku limpahkan kepada kamu keredhaan-Ku, maka dengan yang demikian Aku tidak murka kepada kamu sesudah itu selama-lamanya. "

(Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Imam Ahmad)

Kolam Al-Kawthar:

Di antara perkara-perkara akhirat yang wajib diketahui serta dipercayai dan diakui benarnya ialah ada di sana kolam air bagi tiap-tiap seorang Nabi a.s., untuk diminum oleh umat masing-masing.

Bagi Nabi Muhammad s.a.w. , disediakan sebuah kolam yang airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada air madu,  piala-pialanya banyak tidak terhitung.

Nabi Muhammad s.a.w. , akan berada dekat kolam itu pada hari qiamat menunggu sesiapa di antara umatnya s.a.w., yang datang minum dari airnya.

Sesiapa yang dapat minum dari air kolam itu tidak akan merasai haus dahaga selama-lamanya;  ada pun minum-minuman yang ada dalam Syurga maka disediakan hanya untuk diminum buat berlazat-lazat dan bersukaria sahaja, kerana: "Sesungguhnya engkau - wahai penduduk Syurga - tidak akan merasai haus dahaga di dalamnya"; (119 Surah Taha).

Air kolam itu tidak dapat diminum oleh sesiapa yang menukar bawaan hidupnya yang baik kepada yang tidak baik selepas Nabi s.a.w., menyatakan apa yang baik dan apa yang sebaliknya, bahkan orang yang tersebut disekat dari sampainya ke kolam itu dan dijauhkan daripadanya.

Kolam itu namanya "Kolam al-Kauthar", kerana airnya adalah dari air sebatang sungai di Syurga yang bernama "al-Kauthar" yang dikurniakan Tuhan khas kepada Nabi Muhammad .s.a.w., sungai itulah yang memenuhi kolam yang tersebut melalui dua saluran emas dan perak.  Bau tanah dasar sungai itu lebih harum daripada kasturi.

Hakikat yang tersebut terkandung dalam hadis-hadis yang berikut:

125- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَيْنَمَا أَنَا أَسِيرُ فِي الْجَنَّةِ إِذَا أَنَا بِنَهَرٍ حَافَتَاهُ قِبَابُ الدُّرِّ الْمُجَوَّفِ قُلْتُ مَا هَذَا يَا جِبْرِيلُ قَالَ هَذَا الْكَوْثَرُ الَّذِي أَعْطَاكَ رَبُّكَ… . (البخاري والترمذي)

125- Dari Anas r.a., katanya: Bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Dalam masa aku sedang berjalan di Syurga (pada malam Mi'raj) tiba-tiba aku bertembung dengan sebatang sungai yang ada pada kedua-dua tebingnya kubah-kubah dari mutiara yang dironggakan; aku bertanya: "Sungai apa ini wahai Jibril?" Jibril menjawab:  "Ini ialah sungai Al-Kauthar yang Tuhan mu kurniakan kepada mu"

(Bukhari dan Tirmizi)


126- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْكَوْثَرُ نَهْرٌ فِي الْجَنَّةِ حَافَّتَاهُ مِنْ ذَهَبٍ وَمَجْرَاهُ عَلَى الدُّرِّ وَالْيَاقُوتِ تُرْبَتُهُ أَطْيَبُ مِنْ الْمِسْكِ وَمَاؤُهُ أَحْلَى مِنْ الْعَسَلِ وَأَبْيَضُ مِنْ الثَّلْجِ. (الترمذي)

126- Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Kauthar itu ialah sebatang sungai dalam Syurga,  kedua-dua tebingnya adalah dari emas,  aliran airnya di atas mutiara dan yakut, bau tanah di dasarnya lebih harum dari kasturi,  dan airnya lebih manis dari air madu,  dan lebih putih dari salji."

(Tirmizi)


127- عَنْ سَمُرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ لِكُلِّ نَبِيٍّ حَوْضًا وَإِنَّهُمْ يَتَبَاهَوْنَ أَيُّهُمْ أَكْثَرُ وَارِدَةً وَإِنِّي أَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَكْثَرَهُمْ وَارِدَةً. (الترمذي)

127- Dari Samurah, r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang Nabi ada sebuah kolam dan sesungguhnya mereka masing-masing akan bermegah-megah siapakah yang umatnya lebih ramai datang minum dan sesungguhnya aku berharap bahawa aku akan menjadi orang yang lebih ramai umatnya datang minum. 

(Tirmizi)

128- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ وَهُوَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ أَصْحَابِهِ إِنِّي عَلَى الْحَوْضِ أَنْتَظِرُ مَنْ يَرِدُ عَلَيَّ مِنْكُمْ فَوَاللَّهِ لَيُقْتَطَعَنَّ دُونِي رِجَالٌ فَلَأَقُولَنَّ أَيْ رَبِّ مِنِّي وَمِنْ أُمَّتِي فَيَقُولُ إِنَّكَ لَا تَدْرِي مَا عَمِلُوا بَعْدَكَ مَا زَالُوا يَرْجِعُونَ عَلَى أَعْقَابِهِمْ (وَفِي رِوَايَةٍ: فَأَقُولُ سُحْقًا سُحْقًا لِمَنْ بَدَّلَ بَعْدِي). (مسلم)

128- Dari Aisyah, r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w., bersabda semasa Baginda berada di antara sahabat-sahabatnya: "Sesungguhnya aku akan berada di kolamku, menunggu siapa di antara kamu datang hendak minum dari kolamku itu; Apabila datangnya orang-orang itu, maka demi Allah!  Sesungguhnya ada orang-orang yang disekat-sekat dari sampainya kepadaku, lalu aku merayu dengan berkata:  "Ya Tuhanku!  Mereka dari orang-orangku dan dari umatku" maka Tuhan berfirman: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mengetahui apa yang mereka lakukan sesudah engkau wafat - mereka sentiasa berbalik kepada pegangan dan amal perbuatan mereka yang buruk; " dan pada satu riwayat:  "Maka aku pun berkata:  "Jauhlah, jauhlah dari rahmat Allah,  sesiapa yang mengubah ajaran-ajaranku sesudah aku menerangkannya".

Muslim

129- عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا آنِيَةُ الْحَوْضِ قَالَ وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَآنِيَتُهُ أَكْثَرُ مِنْ عَدَدِ نُجُومِ السَّمَاءِ وَكَوَاكِبِهَا أَلَا فِي اللَّيْلَةِ الْمُظْلِمَةِ الْمُصْحِيَةِ آنِيَةُ الْجَنَّةِ مَنْ شَرِبَ مِنْهَا لَمْ يَظْمَأْ آخِرَ مَا عَلَيْهِ يَشْخَبُ فِيهِ مِيزَابَانِ مِنْ الْجَنَّةِ… (وَفِي رِوَايَةٍ: وَسُئِلَ عَنْ شَرَابِهِ فَقَالَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنْ اللَّبَنِ وَأَحْلَى مِنْ الْعَسَلِ يَغُتُّ فِيهِ مِيزَابَانِ يَمُدَّانِهِ مِنْ الْجَنَّةِ أَحَدُهُمَا مِنْ ذَهَبٍ وَالْآخَرُ مِنْ وَرِقٍ). (مسلم)

129- Dari Abu Zar r.a., katanya: Aku bertanya: Ya Rasulullah!  Apa keadaan piala-piala kolam al-Kauthar itu? Rasulullah s.a.w., menjawab:  "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya. Sesungguhnya bilangan pialanya lebih banyak dari bilangan bintang-bintang di langit yang tetap dan yang beredar, pada malam yang gelap-gelita dan yang bersih cuacanya, piala-piala itu adalah piala Syurga;  sesiapa yang minum dari piala-piala itu tidak akan merasa dahaga selama-lamanya;  dua saluran dari Syurga menyalurkan air ke dalam kolam itu ..."; dan pada satu riwayat:  Baginda s.a.w., ditanya tentang air kolam itu, lalu Baginda s.a.w., menjawab:  "Airnya lebih putih dari air susu dan lebih manis dari air madu;  dua saluran dari Syurga mengalir serta menambah air ke dalamnya, satu dari emas dan yang satu lagi dari perak. " (Muslim)