IBADAT ZAKAT

Firman Allah Taala:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَاِبْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ(60)

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan 'amil-'amil, yang mengurusnya dan orang-orang muallaf dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah.  Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,  lagi Maha Bijaksana.  "(1)

Orang-orang yang berhak menerima zakat telah ditetapkan oleh Allah Taala meliputi "lapan asnaf" atau "lapan jenis" yang diterangkan dalam ayat suci ini.

Menurut huraian ulama' rahimahullah takrif tiap-tiap satu dari asnaf yang lapan ini seperti berikut:

1. Orang fakir: 

2. Orang miskin: 

Kalau ada sesuatu "nas" (keterangan) al-Qur'an dan hadith disebutkan:

"Orang fakir" atau "orang miskin" sahaja, maka maksudnya ialah keduanya-duanya sekali iaitu "orang yang tidak berada" yang memerlukan bantuan.

Tetapi kalau disebutkan keduanya satu persatu "orang-orang fakir dan orang-orang miskin" (seperti tersebut dalam ayat suci yang lalu), maka ada sedikit perbezaannya.

Menurut penjelasan al-Imam al-Syafi'i rahimahullah:

"Orang fakir" ialah orang yang tidak berharta dan tidak ada mata pencarian.

"Orang miskin" pula ialah orang yang ada harta (ala kadarnya) atau ada mata pencarian tetapi tidak mencukupi sara hidupnya.(2)

Kedua-dua golongan ini berhak mendapat bantuan dari masyarakatnya. Sebab itu Islam menentukan hak mereka dalam bahagian zakat dan menggalakkan umatnya berehsan kepada mereka dengan wang ringgit atau mata benda sebagai derma dan khairat atau sebagai pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan atau dicarikan kerja bagi yang menganggur - untuk menyara hidupnya dengan keadaan yang lebih baik.

______________________________

1. Ayat 60, Surah al-Taubah.

2. Tafsir al-Alusi (10:108).


Golongan fakir miskin yang sangat-sangat memerlukan bantuan diterangkan dalam hadith yang berikut:

106- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ الْمِسْكِينُ هَذَا الطَّوَافَ الَّذِي يَطُوفُ عَلَى النَّاسِ تَرُدُّهُ اللُّقْمَةُ وَاللُّقْمَتَانِ وَالتَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ إِنَّمَا الْمِسْكِينُ الَّذِي لَا يَجِدُ غِنًى يُغْنِيهِ وَيَسْتَحِي أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ وَلَا يُفْطَنُ لَهُ فَيُتَصَدَّقَ عَلَيْهِ. (رواه الإمام أحمد)

106- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta-minta ke sana ke mari kepada orang ramai,  yang apabila ia mendapat sesuatu atau dua suap makanan atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma - ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Sebenarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang mencukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan. "(1)

(Hadith Sahih - Riwayat al-Imam Ahmad)

Hadith ini menerangkan ada di antara golongan fakir miskin yang terdesak hidupnya sehingga terdorong meminta sedekah,  tetapi ada pula yang tidak tergamak menadah tangan sekalipun mereka lapar dan menderita dan mereka pula tidak rela mengadukan halnya kepada orang lain, sehingga keadaan mereka yang menyedihkan ini tidak diketahui oleh umum.  Golongan inilah yang sebenar-benarnya miskin - seperti yang tersebut dalam hadith ini - berbanding dengan golongan yang terdorong meminta sedekah. 

Kerana golongan peminta sedekah ini dapat juga mencari sara hidupnya dan menutup laparnya dengan perbuatannya meminta-minta ke sana ke mari. Sedang golongan yang kedua, tidak begitu mendapat perhatian,  kecuali dari orang yang rapat dengannya, yang mengetahui penderitaannya.

Walau bagaimana pun, kedua-dua golongan ini berhak mendapat bantuan.  Golongan yang terdesak menadah tangan,  hendaklah diberi bantuan dan janganlah dihampakan dan golongan yang menyembunyikan penderitaannya, demi menjaga maruahnya, maka masyarakat sekeliling - terutama kaum kerabat dan sahabat handainya - bertanggungjawab bertanyakan khabar beritanya dan memberikan bantuan dengan cara yang baik. 

______________________________

1. Al-Fath al-Rabbani (9:50). Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari (Fath al-Bari, 4:82) dengan lafaz yang lain.

Tangan Yang Memberi, Lebih Baik Dari Tangan Yang Menerima:

Islam tidak rela umatnya hidup menderita atau membiarkan dirinya menjadi mangsa kemiskinan.  Tiap-tiap seorang - kecuali yang uzur - digalakkan bekerja keras dan berhempas pulas mencari sara hidup yang lumayan sehingga dapat berdiri di atas kaki sendiri dan tidak menjadi beban kepada masyarakat.

Banyak sekali ajaran-ajaran Islam yang memberi semangat dan memberi perangsang serta menimbulkan hemah yang tinggi supaya masing-masing dapat mencapai taraf hidup yang mulia di dunia ini dengan segala kenikmatannya yang halal,  di samping menyediakan bekal (amal-amal yang baik) untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.

Di antara ajaran-ajaran Islam itu ialah hadith yang berikut:

107- عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى. (رواه الإمام أحمد)

107- Dari Hakim bin Hizam r.a., katanya aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tangan di atas (yang memberi), lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima bantuan) .."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)

______________________________

1. Al-Fath al-Bari (9:101).


Orang-orang yang kuat tubuh badan dan dapat bekerja mencari sara hidupnya yang mencukupi, diingatkan bahawa mereka tidak harus meminta bantuan.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

108- عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَدِيِّ بْنِ الْخِيَارِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَخْبَرَنِي رَجُلَانِ أَنَّهُمَا أَتَيَا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ يَسْأَلَانِهِ الصَّدَقَةَ قَالَ فَرَفَعَ فِيهِمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَصَرَ وَخَفَضَهُ فَرَآهُمَا رَجُلَيْنِ جَلْدَيْنِ فَقَالَ إِنْ شِئْتُمَا أَعْطَيْتُكُمَا مِنْهَا وَلَا حَظَّ فِيهَا لِغَنِيٍّ وَلَا لِقَوِيٍّ مُكْتَسِبٍ. (رواه الإمام أحمد)

108- Dari Ubaidillah bin `Adi bin Khiyar r.a., bahawa dua orang lelaki memberitahu kepadanya, bahawa mereka telah pergi kepada Rasulullah s.a.w. - meminta bantuan dari bahagian zakat.  Lalu baginda memandang ke atas dan ke bawah memerhati keadaan mereka, lalu didapatinya mereka bertubuh kuat sasa. Baginda pun bersabda: "Kalau kamu berdua mahu, aku beri kepada kamu, tetapi (ingatlah): Orang kaya dan orang yang kuat tubuh badannya, yang bekerja mendapat sara hidup (yang mencukupi) - tidak ada bahagian untuknya pada zakat itu."(1)

(Riwayat Al-Imam Ahmad)

______________________________

1. Al-Fath al-Rabbani (9:93) dan Ibanat al-Ahkam (2:355). Hadith ini juga dikuatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa'i.