Pengertian Muamalat

Muamalat itu adalah semua hukum syariat yang bersangkutan dengan urusan dunia,dengan memandang kepada aktiviti hidup seseorang seperti jual-beli, tukar-menukar, pinjam-meminjam dan sebagainya. Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia ... Baca Lagi

Munakahat

Perkahwinan Dan Hukum-Hukum Yang Berkaitan Dengannya Pengertian Perkahwinan Maksud perkahwinan ialah akad yang menghalalkan di antara lelaki dengan perempuan hidup bersama dan menetapkan tiap-tiap pihak daripada mereka hak-hak dan tanggungjawab.Dalam erti kata ... Baca Lagi

Pengertian Jenayah

Pengertian Jenayah Melakukan sesuatu perkara yang ditegah oleh Allah S.WT. atau meninggalkan sesuatu perkara yang disuruh olehNya. Falsafah Jenayah Peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah S.WT. untuk dilaksanakan dalam sesebuah negara bagi menjamin ... Baca Lagi

HADIS

Fasal Pertama : Mengenal Allah dan MengEsakan-Nya

Firman Allah Taala, ertinya: Demi sesungguhnya Tuhan kamu hanya satu." (4, Surah as-Saaffaat). Sifat-sifat Ketuhanan:  " .. dan tidak ada yang bersifat ketuhanan(1) melainkan Allah,  Yang Maha Esa, lagi Yang mengatasi kekuasaan-Nya segala-galanya." (65, Surah Sad). Ilmu Dan Martabat-martabatnya: "Maka ...
Baca lagi

Fasal Kedua : Membersihkan Tauhid Dari Sebarang Syirik

Islam - sebagaimana yang telah dijelaskan- adalah agama Tauhid yakni agama yang berasaskan iman kepada keEsaan Allah Yang Maha Kuasa.  Maka ukuran sempurna atau tidaknya Islam seseorang adalah bergantung kesempurnaan Tauhidnya. Tauhid yang sempurna itu apabila ke dalam ...
Baca lagi

Waktu Solat
Putrajaya

06 JAMADIL AKHIR 1436
bersamaan
27 March 2015

Subuh 6:00
Syuruk 7:16
Zohor 1:22
Asar 4:23
Maghrib 7:25
Isyak 8:33

[www.e-solat.gov.my]

Masjid Putra, Putrajaya

Masjid Putra didirikan pada 22 Zulkaedah 1419 Hijri bersamaan 9 Mac 1999 Masihi. Ia menjadi mercu tanda Wilayah Persekutuan Putrajaya. Masjid ini dinamakan Masjid Putra sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kitab

BERIMAN KEPADA KITAB-KITAB ALLAH

Al-Qur'an Al-Karim

Kitab suci al-Qur'an al-Karim yang diturunkan oleh Allah Taala kepada Nabi Muhammad s.a.w. - Nabi dan Rasul yang akhir sekali, ialah kitab suci yang akhir sekali yang memansukhkan kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya.

Al-Qur'an al-Karim diturunkan oleh Allah Taala kepada Baginda s.a.w. dalam masa umat manusia terutama kaum Yahudi dan Nasrani berada dalam persengketaan dan perselisihan dalam berbagai-bagai masalah termasuk masalah ketuhanan dan kerasulan. Masing-masing pihak membenarkan pihaknya dan menyalahkan yang lain.

Al-Qur'an al-Karim, antara lain, mempunyai dua tugas yang besar.

1Mengakui kebenaran yang terkandung dalam kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya, mengenai beribadat kepada Allah semata-mata, beriman kepada Rasul-Rasul-Nya, menjalankan kebenaran dan keadilan,  berakhlak dengan sifat-sifat yang mulia dan mengakui benar adanya balasan pada hari akhirat.

2Mengawasi kitab-kitab yang tersebut serta mendedahkan perubahan,  pindaan dan tokok tambah yang terdapat dalam kitab-kitab itu yang dilakukan oleh kaum Yahudi dan Nasrani.

Hakikat ini ditegaskan oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an al-Karim, ertinya:

"Dan Kami turunkan kepada mu (wahai Muhammad) kitab al-Qur'an dengan membawa kebenaran,  untuk mengesahkan benarnya kitab-kitab suci yang terdahulu daripadanya dan untuk memelihara serta mengawasinya.

(48, Surah al-Maidah).

"Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) kalam Allah (isi kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar.

(46, Surah an-Nisaa').

"Dan di antara orang-orang yang berkata:  `Bahawa kami ini orang-orang Nasrani,  Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka. mereka juga melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya.

(14, Surah al-Maidah).

Jelasnya, sesiapa yang hendak mencari kebenaran dan hendak mencapai pengajaran-pengajaran Ilahi yang benar,  tidak akan dapat di mana-manapun selain daripada yang terhimpun di dalam al-Qur'an al-Karim kerana al-Qur'anlah kitab suci yang terpelihara keasliannya dan terselamat pengajarannya daripada sebarang perubahan,  pindaan dan tokok tambah, serta telah disambut dan diterima oleh umat Islam dari Nabi Muhammad s.a.w. yang menerimanya dari Malaikat Jibril a.s yang membawa turunnya dari Allah s.w.t.

Al-Qur'an juga sebuah kitab yang terhimpun di dalamnya:

(1) Dasar-dasar suci dan mulia dan sebenar-benar cara serta sebaik-baik peraturan.

(2) Segala apa jua yang diperlukan oleh umat manusia meliputi aqidah kepercayaan,  amal ibadat,  adab sopan dan segala bentuk muamalat (kira bicara dan perhubungan sesama manusia dalam bidang perniagaan,  perusahaan dan sebagainya).

(3) Segala peraturan yang menjamin wujudnya orang perseorangan yang sempurna,  keluarga yang mulia, masyarakat yang baik dan kerajaan yang adil

 

Hakikat ini diterangkan oleh Allah Taala dalam ayat 15-16, Surah al-Maidah. Di antara maksud-maksudnya:

(1) Bahawa umat Muhammad s.a.w,  telah datang kepada mereka - dari Allah s.w.t. - seorang Rasul selaku obor atau suluh yang menerangi pandangan hati nurani manusia dan sebuah kitab al-Qur'an yang menyatakan segala yang dihajati oleh umat manusia untuk kesempurnaan dan kesentosaannya;

(2) Bahawa melalui Rasul dan Kitab yang tersebut, Allah Taala - dengan peraturan dan undang-undangnya.

(a) Menunjukkan jalan keselamatan hidup di dunia dan di akhirat:
Kepada sesiapa yang menerima dan menurut peraturan dan cara bawaan hidup yang diredhaiNya.

(b) Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kufur,  kejahilan, maksiat dan sebagainya: Kepada sinaran cahaya iman,  ilmu pengetahuan,  amal ibadat dan perkara-perkara yang mulia.

(c) Memimpin manusia ke jalan yang tidak ada kebimbangan sesat bagi sesiapa yang melaluinya dan tidak pula berat atau payah dijalani, iaitulah jalan - "As-Siratal Mustaqin" - yang betul lurus.

 

Hakikat ini juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya:

kitab2

18- Dari Ali, ra., katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w., bersabda: "Awaslah, sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar". Aku bertanya: "Apakah caranya untuk menyelamatkan diri dari bencana itu, Ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "(Caranya ialah berpegang teguh kepada ajaran) kitab Allah ia mengandungi kisah-kisah perihal umat-umat - yang terdahulu dari kamu dan berita perkara-perkara yang akan datang sesudah kamu, serta hukum-hukum mengenai apa yang berlaku di antara kamu (kitab Allah al-Qur'an) dialah yang menjadi pemutus (antara yang benar dengan yang salah) bukan keterangan yang olok-olok; sesiapa jua dari golongan yang sombong angkuh, meninggalkannya (dengan tidak menurut hukumnya): akan dibinasakan oleh Allah dan sesiapa yang mencari pertunjuk dari yang lainnya akan disesatkan oleh Allah;  al-Quran ialah tali Allah yang teguh kukuh dan dialah pengajaran yang menjadi ikutan dan dialah juga As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus). Dialah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan dialah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau berkesamaran dengan kata-kata makhluk;  dan alim ulama pula tidak merasa puas daripada mengkaji isi kandungannya; (demikian juga) keindahan,  kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut atau hilang meskipun ia dibaca dengan berulang-ulang dan kandungannya yang menakjubkan,  tidak berkesudahan. Dialah kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Qur'an yang - menakjubkan,  yang memimpin ke jalan yang benar,  lalu kami beriman kepadanya." (Demikian juga) sesiapa yang memperkatakan sesuatu dengan berdasarkan kitab itu, benarlah perkataannya; dan sesiapa yang beramal dengan ajarannya, diberikan pahala;  dan sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hukumnya, adillah keputusannya; dan sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menurut ajaran-ajarannya, sudah tentu ia (dan mereka) beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus."

(Tirmizi dan Darimi)

Firman Allah Taala, maksudnya: "Dan hendaklah kamu sekalian berpegang teguh kepada kitab Allah Al-Qur'an .. (103, Ali-Imran).
".. Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya maka patuhilah larangannya ..." (7, Al-Hasyr).

 

Hadis Ketiga

kitab3

3 - Dari Zaid bin Arqam, r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kitab Allah Azza wa Jalla ialah tali Allah (sebab yang membawa kepada rahmat Allah), sesiapa yang menurutnya: Beradalah ia dalam hidayat pertunjuk yang sebenar-benarnya dan (sebaliknya) sesiapa yang meninggalkannya: Beradalah ia dalam kesesatan. " (Muslim)


Hadis yang ketiga ini mengandungi:

(1) Kitab Allah ialah jalan perhubungan seseorang dengan Allah.

(2) Nasib seseorang bergantung kepada mengikut atau tidaknya akan kitab Allah.


Huraiannya:

Pertama - Kitab Allah Al-Qur'an Al-Karim

Allah S.W.T. Tuhan pencipta alam seluruhnya dan pencipta manusia khasnya. Manusia tidaklah seperti keadaan kayu dan batu, dan tidaklah seperti keadaan haiwan-haiwan yang lain, tetapi manusia adalah sejenis makhluk yang kejadiannya tersusun dari jasmani dan rohani, serta berkeadaan dengan sifat-sifat istimewa berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain. Oleh itu maka tak patut manusia hanya tinggal manusia,  tidak lebih dari itu, bahkan wajiblah ada perhubungannya dengan Allah penciptanya; maka jalan perhubungan seseorang dengan Allah itu tidak lain melainkan Al-Qur'an al-Karim. Di dalam Al-Qur'an ada keterangan-keterangan, ada tunjuk ajar untuk seseorang mencapai keselamatan;  ada yang berupa suruhan, ada yang berupa larangan,  sama ada dalam bahagian ibadat,  mahu pun dalam bahagian bidang-bidang kehidupan, yang wajib dipatuhi, di mana seseorang itu berada dan dalam zaman mana ia hidup, hingga hari kiamat. ltulah sebabnya Al-Qur'an itu disifatkan dengan "Tali Allah" yang teguh kukuh, sesiapa yang berpegang dengannya selamatlah dia, dan sesiapa yang mencuaikannya binasalah dia.

Kedua - Nasib seseorang dalam alam kehidupan

Perkara nasib sentiasa dipersoalkan oleh setiap orang dalam setiap masa,  lebih-lebih lagi dalam zaman sains dan teknologi mi. Mereka berusaha, mereka bertindak dengan tujuan membaiki dan membela nasibnya. Tetapi walau bagaimanapun, nasib yang mereka maksudkan itu tidak lebih dari nasib dalam kehidupan dunia sahaja, katalah tentang senang atau susah,  atau lain-lain lagi; semuanya setakat dalam dunia,  dengan tidak memandang kepada akhirat - alam kesudahan masing-masing; dan semuanya mengikut ukuran lahir semata-mata dengan tidak memandang kepada nilaian akhlak dan peri kemanusiaan;  maka dengan sebab itulah dalam berusaha untuk membaiki dan membela nasib kerapkali berlaku pencerobohan terhadap nasib orang lain, atau menyentuh maruah diri sendiri atau diri orang lain.

Adapun nasib yang dimaksudkan oleh agama ialah nasib yang meliputi kehidupan dunia dan akhirat sama,  sedang manusia dengan fikirannya sendiri hanya dapat mengetahui perkara jasmani dalam dunia ini,  itupun kadarnya sangat terbatas; pada hal hakikat manusia bukanlah jasmani sahaja bahkan jasmani dan rohani sama;  maka manusia walaupun seberapa bijak fikiran mereka tak dapat mengetahui dengan sahnya perkara rohani itu, lebih-lebih lagi perkara alam akhirat. 

Dengan yang demikian, maka untuk membaiki nasib dan mencapai kebahagiaan dunia akhirat, wajiblah seseorang itu menurut ajaran kitab Allah dan menjauhkan diri dan segala larangannya.

Hadis Keempat

kitab4

4 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., bahawa Baginda bersabda: "Aku tinggalkan dalam kalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah dan sunnah Rasulullah," (s.a.w.).
(Imam Malik).

Hadis yang keempat ini mengandungi:
(1) Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w. yang kekal abadi. 
(2) Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia.

Huraiannya:

Pertama - Pusaka Peninggalan Rasulullah s.a.w.

Baginda tidak meninggalkan harta benda yang menjadi pusaka kepada waris-warisnya. Sebagai seorang Rasul,  Baginda diberi mukjizat-mukjizat yang membuktikan kerasulannya dan mukjizat-mukjizat itu habis apabila lalu masanya, tidak dapat disaksikan oleh orang-orang kemudian, kecuali satu mukjizat yang kekal hingga ke hari kiamat,  yang lebih berguna dari harta benda, bukan sahaja untuk waris-warisnya bahkan untuk umat manusia seluruhnya dalam segala tempat dan segala zaman. 
Peninggalannya itu ialah "Kitab Allah Al-Qur'an" yang diwahyukan kepadanya dan "Sunnah"nya yang meliputi, perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya).

Kedua - Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjamin keselamatan umat manusia

Jaminan keselamatan yang diberi melalui "Kitab Allah" dan "Sunnah RasulNya itu ialah dengan jalan tiap-tiap seorang mengamalkan sendiri segala ajaran keduanya, menghalalkan apa yang dihalalkannya dan mengharamkan apa yang diharamkannya; bukan dengan jalan menyimpan keduanya di rumah untuk diambil berkat sahaja, bukan dengan jalan dibaca dengan tujuan yang lain daripada mencari keredhaan Allah Azza wa Jalla dan bukan pula dengan cara menumpang amalan orang lain, walau pun di antara anak dengan ayah, atau di antara isteri dengan suami;  tidaklah seperti keadaan keselamatan dalam alam nyata ini, yang biasanya seseorang yang lebih kuasanya boleh memberi perlindungan selamat kepada orang lain yang ia kehendaki.
Usaha untuk mencapai keselamatan yang sejati ialah berpegang teguh kepada ajaran-ajaran kitab Allah dan jalan pimpinan Rasulullah s.a.w.

Hadis Kelima

kitab5

5 - Dari Al-'Irbaadh bin Sariyah, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. telah menasihati dan mengingati kami, pada suatu hari lepas sembahyang Subuh,  dengan satu nasihat dan peringatan yang sangat-sangat mendalam dan berkesan, yang menjadikan (Pendengar-pendengarnya) menitiskan air mata dan menjadikan hati (mereka) gerun gementar. Lalu berkatalah salah seorang lelaki (di antara kami): "Sesungguhnya nasihat ini nasihat orang yang memberi selamat tinggal, maka apakah pesanan yang tuan hendak pesankan kepada kami Ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "Aku berpesan kepada kamu dengan taqwa kepada Allah,  dan mendengar serta taat kepada (pemerintah kamu) sekalipun ia seorang hamba bangsa Habsyi, kerana sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup (selepas ku) akan melihat perselisihan yang banyak dan (dengan yang demikian) berjaga-jagalah kamu, jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya perkara-perkara itu adalah sesat;  oleh itu sesiapa di antara kamu yang berada dalam zaman berlakunya yang demikian, maka hendaklah ia menurut jalanku dan jalan khalifah-khalifah (ku) yang mendapat pimpinan lagi beroleh hidayat pertunjuk; berpegang teguhlah kamu kepadanya dengan seteguh-teguhnya."
(Tirmizi)

Menurut hadis Abu Daud,  (Baginda bersabda): "Dan berjaga-jagalah kamu! Jauhkanlah diri dan perkara-perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama), kerana sesungguhnya tiap-tiap perkara yang diada-adakan) itu bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat. "

Hadis yang kelima ini mengandungi:
(1) Rasulullah s.a.w. seorang ahli pidato yang amat bijaksana.
(2) Dalam pidato-pidatonya, kerapkali Baginda berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah.
(3) Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada pemerintah dengan tidak memandang kepada asal keturunannya.
(4) Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam.
(5) Jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al Rashidin hendaklah sentiasa dijadikan pedoman.

Huraiannya:

Pertama - Rasulullah s.a.w. Seorang Ahli Pidato Yang Amat Bijaksana

Sebagai seorang Rasul yang terpilih,  yang sentiasa mendapat pimpinan dari Allah s.w.t. melalui malaikat Jibril (a.s.), sudah tentu nasihat-nasihat dan pengajaran Baginda memberi kesan yang sangat-sangat mendalam dan mempengaruhi pendengar-pendengarnya, sehingga hati yang keras menjadi lembut,  yang pengecut menjadi berani,  dan yang cuai menjadi tekun, bertindak dengan bersungguh-sungguh.

Kedua - Soal Taqwa

Dalam pidatonya, Baginda kerapkali berpesan supaya bertaqwa daripada terkena kemurkaan Allah s.w.t. "Taqwa" ialah cara memelihara dan menjaga diri dan lain-lainnya kerana takut terkena sebarang perkara yang merosakkan atau yang mencacatkan. Kerosakan-kerosakan itu ada kalanya mengenal hidup di dunia,  dan ada kalanya mengenai hidup di akhirat. Bagi menjaga dan mengawal kerosakan atau kecacatan hidup di dunia,  hendaklah dipelajari ilmu pengetahuan yang berhubung dengan undang-undang kejadian alam serta diikuti dan dijalankan dengan sempurna. 

Misalnya bagi mencegah kekalahan dan kerosakan dalam perjuangan,  hendaklah mengetahui cara-cara dan peraturan melawan musuh,  serta menyediakan alat-alat kelengkapan yang dikehendaki oleh keadaan dan zaman.  Selain dan itu hendaklah pula disertakan dengan kekuatan rohani iaitu bersatu hati, tetap dan tabah serta bertawakal kepada Allah Taala.

Demikian juga, bagi menjaga kerosakan atau kecacatan hidup di akhirat, hendaklah mencegahnya dengan iman yang ikhlas, tauhid yang tulin, dan amal yang salih serta menjauhi segala yang bertentangan dengan semuanya itu, seperti bawaan syirik, perbuatan maksiat, dan akhlak yang memburukkan seseorang atau masyarakat.

Pendeknya "Bertaqwa" ialah berusaha menjalankan sebab-sebab yang dijadikan Tuhan untuk mencapai musababnya - Seperti beriman dan beramal salih untuk mencapai nikmat kebahagiaan yang kekal abadi di akhirat kelak dan berusaha menurut jalan dan peraturan yang betul untuk mencapai kejayaan di dunia.

Ketiga - Orang-orang Islam diwajibkan taat kepada ketua,  sekalipun ketua itu dari golongan hamba abdi

Seseorang ketua,  dengan sifatnya pemegang teraju pemerintahan sesebuah negara, atau sesebuah masyarakat, atau sesebuah pejabat, atau lain-lainnya, wajib dipatuhi oleh set!p orang yang di bawah perintahnya, selagi tidak bercanggah dengan hukum-hukum Islam,  sebagaimana yang dinyatakan oleh sebuah hadis,  yang maksudnya:

"Tidak harus mentaati seseorang makhluk dalam perkara melanggar perintah Tuhan".

Patuh setia dan seluruh rakyat itu menjadikan segala urusan pemerintahan berjalan dengan baik,  dapat memberikan hak-hak kepada tuan punya masing-masing mengikut apa yang wajib.  Kalau tidak, akan berlakulah berbagai-bagai huru-hara. 
Memandang kepada besarnya kepentingan taat setia terhadap ketua atau pemerintah,  dan besarnya bencana ketiadaan taat setia itu maka Rasulullah s.a.w. wajibkan juga mematuhi walaupun ketua atau pemerintah itu dari golongan hamba abdi, sekiranya ia dengan ilmu pengetahuannya berpeluang menjadi ketua, pada hal ketua atau pemerintah itu - selain daripada ilmu pengetahuan yang melayakkannya - menurut dasar syarak hendaklah dari keturunan yang mu1ia.

Keempat - Amaran Baginda tentang berlakunya perselisihan dalam kalangan umat Islam

Amaran yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. telah berlaku dan menjadi kenyataan. Orang-orang Islam telah pun mengalami perselisihan sesama sendiri, sama ada dalam soal-soal i'tikad kepercayaan dan amal ibadat,  mahu pun dalam soal-soal politik, sehingga menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini

Kelima - Perlunya berpandu kepada jalan bawaan Rasulullah S.A.W. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Ar-Rasyidin

Sebagaimana perlunya pedoman dalam perjalanan atau pelayaran untuk mengelakkan sesat barat, maka demikianlah pula perlunya berpandukan jalan bawaan Rasulullah s.a.w. dan jalan pimpinan khalifah-khalifah Al-Rasyidin dalam bawaan hidup seseorang sehari-hari, lebih-lebih lagi pada masa berlakunya pertelingkahan. Setelah memberi amaran tentang berlakunya persengketaan dalam kalangan umatnya, Baginda iringi pula dengan pesanan supaya mereka sentiasa berpandukan kepada jalannya dan jalan khalifah-khalifahnya, serta melarang keras dari melakukan perkara-perkara baharu yang diada-adakan dalam agama - dengan berdasarkan akal fikiran semata-mata dan keinginan hawa nafsu - kerana buruk padahnya.

Hadis Keenam

kitab6

6- Dari Abdullah bin 'Amr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Demi sesungguhnya akan berlaku kepada umatku perkara-perkara yang betul-betul sama seperti apa yang telah berlaku kepada Bani Israil, sehingga jika ada di antara mereka orang yang berzina dengan ibunya dengan berterang-terang, nescaya akan ada dalam kalangan umatku orang yang melakukan perkara yang demikian; dan sesungguhnya kaum Bani Israil telah berpecah belah kepada tujuh puluh dua puak dan umatku pula akan berpecah belah kepada tujuh puluh tiga puak,  semuanya (akan dihumbankan) dalam neraka kecuali satu puak sahaja". Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Siapa dia puak yang satu itu ya Rasulullah? " Baginda menjawab:  "Puak itu ialah puak yang tetap di atas jalanku dan jalan sahabat-sahabatku." (Tirmizi)

Menurut hadis Abu Daud,  ada tambahan, iaitu: "Dan sesungguhnya akan timbul dalam kalangan umatku beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit suka mengada-adakan bid'ah sebagaimana menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya - tidak ada satu urat atau satu sendi tubuhnya melainkan penyakit itu meresap masuk menjalarinya."

Hadis yang keenam ini mengandungi:
Penegasan Rasulullah s.a.w. tentang perkara-perkara buruk yang akan berlaku dalam kalangan umatnya yang wajib dijauhi, supaya mereka tetap teguh menurut jalannya dan jalan sahabat-sahabatnya.

Huraiannya:

Perkara-perkara buruk yang diperingati oleh junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. itu ialah:

Pertama - Umat Islam akan melakukan penyelewengan dari ajaran-ajaran Islam yang sebenar, seperti yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israil.

Baginda menyebutkan perihal kaum Bani Israil ini kerana penyelewengan mereka adalah seburuk-buruk contoh yang wajib dijauhi dan disingkirkan. Meskipun mereka pada mulanya diberikan berbagai nikmat dan keistimewaan,  diturunkan kepada mereka kitab-kitab suci,  dan diutuskan kepada mereka beberapa banyak Nabi-nabi dan Rasul-rasul, tetapi kebanyakan mereka tetap kufur ingkar, dan terus melakukan berbagai-bagai jenayah dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh dan kekejaman di sepanjang-panjang sejarahnya. Mereka telah runtuh akhlaknya, hilang lenyap peri kemanusiaannya, dan berpecah belah kepada berbagai-bagai puak dalam kepercayaan dan fahaman-fahamannya serta mengadakan berbagai-bagai helah untuk memutarbelitkan ajaran-ajaran dan hukum-hukum agamanya. Merekalah juga yang telah menimbulkan dan mengembangkan berbagai-bagai isme atau fahaman, seperti fahaman komunis, fahaman kapitalis dan lain-lainnya yang merosakkan ketenteraman dan susunan masyarakat serta perekonomian negara-negara dunia yang dijalannya. Bahkan merekalah yang mengembangkan kebudayaan kuning yang lucah itu dan melanggar tata tertib dan kesopanan - melalui filem-filemnya, akhbar-akhbar dan majalah-majalahnya, fesyen-fesyen pakaiannya, dan kelab-kelab malamnya, sehingga berhaklah mereka dilaknat oleh Allah Taala di dalam kitab-kitab suciNya, dilaknat oleh malaikat-malaikatNya, Rasul-rasulNya, dan seluruh umat manusia yang berperi kemanusiaan. 

Baginda juga pernah memberi ingat dengan tegasnya - sebagaimana yang tersebut dalam salah satu hadisnya: Bahawa umatnya akan terpengaruh dan menjadi pak turut dengan buta tuli kepada segala apa jua yang datangnya dari kaum Yahudi dan Nasrani. 

Baginda menyebutkan secara khusus kedua-dua kaum itu, kerana mereka, selain diberikan kitab-kitab dan diutuskan Rasul-rasul yang memimpin mereka, merekalah sahaja yang berpengaruh dan banyak angkaranya pada zaman Baginda. Kalau kaum-kaum yang diberikan kitab dan pimpinan itu diingatkan kita jangan terpengaruh kepada penyelewengannya, maka kaum-kaum yang tidak diberi kitab dan tidak pula menerima pimpinan, lebih-lebih lagi wajib kita menolak bulat-bulat segala apa yang mereka sogok-sogokkan kepada kita dari perkara-perkara yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam kita seperti yang kita saksikan pada zaman kita ini - dari kaum-kaum Majusi,  Komunis, Etheis dan lain-lainnya.

Apa yang telah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. mengenai penyelewengan yang akan berlaku dalam kalangan umatnya itu telahpun berlaku dan menjadi kenyataan. Sebagaimana yang disaksikan sekarang ada di antara orang-orang Islam yang suka meniru bulat-bulat apa yang datang dari orang-orang yang bukan Islam,  meskipun perkara-perkara yang ditiru itu bertentangan dengan ajaran dan akhlak Islam. 

Di antara perkara-perkara itu ialah perbuatan setengah perempuan-perempuan Islam yang - selain daripada tidak mematuhi perintah Al-Qur'an menyuruh mereka menutup kepala meliputi belahan leher bajunya - mereka pula membesarkan hiasan kepalanya dengan berbagai-bagai cara yang di antaranya menggunakan rambut-rambut palsu. Ada pula yang menghaluskan bulu keningnya. Ada juga yang berpakaian tetapi mereka seolah-olah bertelanjang kerana nipisnya dan tidak menutup aurat. Ada juga yang berjalan di khalayak ramai dengan cara yang tidak sopan seperti lagak perempuan-perempuan jahat.  Ada pula di antara mereka yang memakai pakaian lelaki dan ada yang berlagak seperti lelaki,  sedang segala perbuatan yang demikian adalah dikutuk oleh Islam.

Selain dari itu, terdapat wanita-wanita yang rela dipamirkan badannya, yang menggunakan pakaian yang sempit dan singkat, mendedahkan aurat, sengaja memperlihatkan bentuk badan, dan lain-lain lagi yang bertentangan dengan hukum dan kesopanan Islam.

Ada pula di antaranya yang keluar dan rumahnya dengan menggunakan berbagai perhiasan yang menarik perhatian,  dengan menggunakan berjenis-jenis bedak muka dan gincu bibir, serta memakai bau-bauan yang harum pada hal semuanya itu - seperti juga segala perhiasan yang lain - hanya ditentukan dan digalakkan oleh agama supaya dilakukan di rumah khasnya untuk suaminya.

Wanita-wanita Islam dilarang memperlihatkan hiasan tubuhnya kecuali kepada suami dan orang-orang lelaki yang menjadi mahramnya serta orang-orang yang tertentu, seperti yang tersebut di dalam Al-Qur'an al-Karim (Ayat 31, Surah Al-Nur).

Demikian juga halnya perkara-perkara buruk yang berlaku dalam kalangan kaum lelaki.  Ada di antara orang-orang lelaki Islam yang telah hilang langsung perasaan cemburunya terhadap isterinya dan perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya, sehingga dia hampir-hampir bersifat dengan sifat orang "Dayus" yang dikutuk oleh Islam dan diharamkan oleh Allah dari masuk syurga,  seperti sikapnya membiarkan isterinya atau perempuan-perempuan yang di bawah jagaannya bebas keluar, bebas bercampur gaul dengan orang-orang lelaki yang bukan mahramnya, bebas dipeluk oleh lelaki asing dalam pesta-pesta tari menari, dan sebagainya.

Ada pula lelaki yang berlagak dan berhias seperti perempuan,  dan yang memakai pakaian perempuan. Semuanya itu, sama ada yang dilakukan oleh kaum lelaki atau kaum perempuan adalah haram dan dikutuk sebagaimana yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadis-hadisnya, serta menyatakan balasan buruk masing-masing, sehingga ditegaskan ada di antara mereka yang melakukan perkara-perkara buruk itu, bukan sahaja tidak akan masuk syurga,  bahkan tidak dapat mencium baunya, sedang bau syurga boleh didapati dan jarak yang jauh.

Kedua - Akan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam mengenai akidah kepercayaan dan amalan agama,  seperti yang telah berlaku kepada kaum Bani Israil,

Pada hal perpecahan yang demikian bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, dan semua puak yang berpecah itu salah dan sesat belaka, kecuali satu sahaja, iaitu puak yang tetap menurut jalan pimpinan Rasulullah s.a.w. dan bawaan sahabat-sahabatnya, dengan tidak mengurangi,  menokok tambah, atau menyeleweng sedikit pun.

Selain dan itu, menurut tambahan yang terdapat pada hadis Abu Daud yang tersebut, Baginda mengingatkan bahawa akan timbul dalam kalangan umatnya beberapa puak yang dijalari oleh bahaya penyakit hawa nafsu suka mengurangi,  menokok tambah, atau menyeleweng dari jalan yang sebenar, seperti menjalarnya bahaya penyakit anjing gila kepada mangsanya.

Ingatan yang tegas dan jelas yang diberikan oleh Baginda itu, ialah supaya umatnya tetap menurut jalan pimpinannya dan bawaan sahabat-sahabatnya.

b kemusykilan

b al quran

b doa

b kafa

JAKIM TV

Ikuti Kami