Jumlah Pengunjung :

 

Tarikh Kemaskini :

16 April 2012

 

IBADAT PUASA

Firman Allah Taala:
.. فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ..

" .. Barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam keadaan musafir,  (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain .." (1)

Ayat suci ini menjadi dalil bahawa orang-orang yang ada uzur syar'i diberi "rukhsah" (2) membuka puasa dan diwajibkan mengqadha puasanya apabila mereka pulih semula.

___________________________

1. Ayat 184, Surah al-Baqarah.

2. (Rukhsah), ertinya satu hukum syarak yang memberi kemudahan atau kelonggaran untuk mengerjakan satu hukum syarak yang berat.  Rukhsah ini hanya diberikan kepada orang yang uzur syar'i, seperti musafir,  sakit atau sedang menghadapi sesuatu kesukaran yang tak dapat dielakkan.


Hukum Puasa Orang Sakit

Menurut huraian ulama', rahimahullah: Bahawa orang sakit yang ada harapan untuk sembuh, dibolehkan meninggalkan puasa semasa ia sakit dan diwajibkan ia mengqadha puasanya itu sesudah ia sembuh kelak.

Dalilnya ialah ayat suci yang diterakan di atas.

Sebaliknya orang yang sakit berat dan tidak ada harapan untuk sembuh dan orang tua yang tidak larat berpuasa,  dibolehkan mereka meninggalkan puasa di sebabkan uzurnya itu dan diwajibkan membayar "fidyah" iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.

Dalilnya diterangkan di dalam al-Qur' an, seperti berikut:

.. وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ..

" .. Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin .."(1)

_________________________

1. Ayat 184, Surah al-Baqarah.


Hukum Puasa Orang Musafir

Orang yang pergi belayar (musafir) dengan meninggalkan rumah tangganya dan kampung halamannya diberikan kelonggaran atau kemudahan dalam mengerjakan perintah-perintah syarak yang tertentu (seperti sembahyang fardhu yang lima dan berpuasa pada bulan Ramadhan) dengan beberapa syarat yang tertentu.

Orang yang sedang musafir dalam bulan Ramadhan,  dibenarkan meninggalkan puasanya dan diwajibkan mengqadhanya pada masa yang lain.

Dalilnya ialah ayat suci yang telah diterangkan dahulu.

Dalam pada itu, jika ia mahu juga berpuasa dalam masa ia sedang musafir,  maka itu tidak menjadi salah malah terserah kepada pilihannya:

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

43- عَنْ حَمْزَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَسْلَمِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَجِدُ بِي قُوَّةً عَلَى الصِّيَامِ فِي السَّفَرِ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هِيَ رُخْصَةٌ مِنْ اللَّهِ فَمَنْ أَخَذَ بِهَا فَحَسَنٌ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَصُومَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ. (رواه مسلم)

43- Dari Hamzah bin Amru al-Aslami r.a., bahawa ia ada bertanya, (katanya): "Ya Rasulullah,  saya rasa, saya tahan berpuasa dalam masa musafir,  oleh itu adakah saya bersalah (kalau saya berpuasa)?"

Rasulullah s.a.w. menjawab:  "Itu adalah satu rukhsah (kemudahan) dari Allah Taala, barangsiapa menggunakan kemudahan itu (lalu ia tidak berpuasa dalam masa musafir), maka itu adalah baik,  dan barangsiapa suka hendak berpuasa maka orang itu tidak dikira bersalah."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

Tetapi cara mana yang lebih afdhal?

Menurut Imam al-Syafi'i, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, rahimahumullah: Lebih afdhal berpuasa dalam masa musafir - bagi orang yang tahan berpuasa. 

Sebaliknya lebih afdhal berbuka puasa dalam masa musafir - bagi orang yang tidak tahan berpuasa. (2)

Syarat-syarat yang membolehkan seorang itu membuka puasanya dalam masa musafir, ialah juga syarat-syarat yang membolehkan mengqasarkan sembahyangnya, seperti yang telah diterangkan dalam "Mastika Hadith" jilid kedua.(3)

____________________

1. Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi (7:238).

2. Fiqh al-Sunnah (1:442).

Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, lebih afdhal berbuka puasa dalam masa musafir (sama ada orang itu tahan berpuasa atau sebaliknya).

3. Hlm. 296.


a Perempuan Yang Sedang Hamil Dan Yang Sedang Menyusukan Anaknya

Perempuan yang sedang hamil dan perempuan yang sedang menyusukan anaknya dibolehkan berbuka puasa,  jika ia takutkan puasanya itu akan mendatangkan mudarat kepada dirinya. Sesudah itu mereka diwajibkan mengqadhakan puasanya.

Tetapi jika mereka berbuka puasa kerana takutkan puasanya itu akan mendatangkan mudharat kepada anaknya semata-mata, maka mereka diwajibkan mengqadha puasanya dan membayar "fidyah".(1)


Perempuan Yang Kedatangan Haid Dan Nifas

Menurut huraian ulama', rahimahumullah: Perempuan yang kedatangan haid dan perempuan yang sedang dalam keadaan nifas (bersalin), diwajibkan berbuka puasa,  malah haram berpuasa.

Mereka wajib mengqadha puasanya yang ditinggalkan itu setelah mereka pulih dari uzurnya dan bersuci.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

44- عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كُنَّا نَحِيضُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ نَطْهُرُ فَيَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصِّيَامِ وَلَا يَأْمُرُنَا بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ. (رواه البخاري ومسلم)

44- Dari `Aisyah r.a., katanya: "Semasa kami kedatangan haid - dalam zaman Rasulullah s.a.w. - kami diperintahkan mengqadha puasa tetapi kami tidak diperintahkan mengqadha sembahyang."(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

_______________________

1. Iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.

2. Fiqh al-Sunnah (1:444).


Masalah Mengqadha Puasa Ramadhan:

Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, sama ada di sebabkan uzur yang dibenarkan oleh syarak atau dengan ketiadaan uzur - wajiblah mengqadhanya sebanyak hari yang ditinggalkan itu.

Jika ia meninggalkan puasanya dengan ketiadaan uzur syar'i, hendaklah ia segera beristighfar dan bertaubat daripada perbuatannya yang berdosa itu dan hendaklah ia menyegerakan mengqadhanya dengan tidak bertangguh lagi.

Sebaliknya jika ia meninggalkan puasanya disebabkan uzur syar'i maka masa mengqadhanya tidak ditentukan, malah ia boleh memilih masa yang sesuai,  mulai dari bulan Syawal hinggalah ke akhir bulan Sya'aban.

Kalau ia masih juga belum mengqadha puasanya itu sehingga masuk bulan Ramadhan yang satu lagi dengan ketiadaan uzur syar'i, wajiblah ia mengqadhanya selepas itu dan kenalah ia membayar "fidyah" iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.(1)

Selagi qadha puasa itu tidak dibayar, maka fidyahnya akan bertambah. 

Misalnya: Jika masuk bulan Ramadhan kali kedua, fidyah itu akan menjadi dua cupak, kali ketiga: Tiga cupak, kali keempat: Empat cupak dan seterusnya, - bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.(2)

___________________________

1. Tetapi jika disebabkan uzur yang dibenarkan oleh syarak,  maka ia tidak dikenakan "fidyah", hanya diwajibkan mengqadha puasanya yang ditinggalkan itu.

2. Sabil al-Muhtadin (2:154).


Mengqadha Puasa Orang Mati

Orang yang tidak mengerjakan puasa Ramadhan selama beberapa hari atau lebih dari itu, atau ia tidak mengerjakan puasa "nazar" atau puasa "kifarah", disebabkan uzur syar'i (seperti sakit dan sebagainya) lalu ia mati sebelum sempat mengqadha puasanya, maka ia tidak dikira berdosa. 

Dengan itu, pihak kaum kerabatnya tidak dikenakan mengqadha puasanya atau membayar "fidyah" dari harta peninggalannya.

Sebaliknya, kalau ia mati setelah hapus uzurnya - yakni setelah ia sembuh dari sakitnya dan sebagainya - kemudian semasa hayatnya tidak mengqadha puasanya itu maka hukumnya menurut jumhur ulama' (1), bahawa pihak kaum kerabatnya tidak dibolehkan berpuasa untuknya tetapi hendaklah membayar "fidyah" untuknya dari harta peninggalannya, iaitu memberi makan orang miskin,  satu cupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya.

Dalilnya ialah hadith yang berikut:

45- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا. (رواه الترمذي)

45- Dari Ibn Umar r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa bulan Ramadhan,  maka hendaklah pihak warisnya (mengeluarkan fidyah untuknya dari harta peninggalannya iaitu) memberi makan seorang miskin (satu cupak) bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasanya."(2)

(Riwayat Tirmizi)

Imam al-Tirmizi, rahimahullah, melemahkan hadith ini sebagai "Hadith Marfu'"(3) tetapi diakui Sahih sebagai "Hadith Mauquf". Yakni yang berkata demikian ialah Ibn Umar r.a.

Demikian juga hukumnya menurut "Fatwa" Saidatina `Aisyah r.a., dan Ibn Abbas r.a.(4)

Malah al-Imam al-Mawardi, rahimahullah menyebutkan riwayat bahawa sahabat-sahabat Nabi telah ijma' mengenai hukum "fidyah" untuk si mati. (5)

Menurut huraian ulama' rahimahullah: Kadar satu "fidyah" untuk satu hari yang ditinggalkan puasanya ialah "satu cupak" dari jenis makanan yang mengenyangkan yang biasa dimakan oleh penduduk sesebuah negeri.

Fidyah itu pula hendaklah di berikan kepada orang fakir miskin sahaja seorang miskin,  boleh di berikan "satu cupak" - tidak terhad. 

Fidyah itu pula hendaklah diberikan kepada orang faqir miskin sahaja. Seseorang miskin, boleh diberikan "satu cupak" atau "beberapa cupak" - tidak terhad. 

Tetapi fidyah yang satu cupak itu tidak boleh dibahagikan dua untuk diberikan kepada "dua orang miskin", kerana yang demikian tidak merupakan "satu fidyah" yang sempurna dan dengan itu tidak sah hukumnya. (6)

_________________________

1. Di antaranya ialah Imam al-Syafi'i menurut 'qaul'nya yang masyhur dalam mazhab 'Jadid'nya. Demikian juga menurut pegangan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, rahimahullah (Fiqh al-Sunnah, 1:471).

2. Tuhfat al-Ahwazi (3:405) dan Misykat al-Masabih (1:634).

3. (Hadith Marfu') ialah hadith yang dihubungkan langsung dengan Rasulullah s.a.w. seperti yang terdapat dalam nas hadith ini, tetapi setelah dikaji didapati ada di antara rawi-rawinya yang tidak cukup syarat maka riwayatnya itu tidak diakui sahihnya.

(Hadith Mauquf) pula ialah yang terhenti kepada sahabat Nabi yang tersebut dalam hadith itu, sebagai perkataannya sendiri untuk menegaskan fahamannya mengenai masalah yang diterangkannya.

4. Kifayah al-Akhyar (2:212).

5. Mughni al-Muhtaj (1:439).

6. Nihayat al-Muhtaj (3:192) dan Sabil al-Muhtadin (2:154).


Dalam pada itu, sebahagian ulama' - terutama ahli hadith - dari kalangan mazhab Syafi'i dan juga mazhab-mazhab yang lain menerangkan:  Bahawa qadha puasa orang mati yang berkeadaan demikian, boleh dibayar oleh kaum kerabatnya dengan cara berpuasa untuknya.

Dalilnya ialah hadith yang berikut:

46- عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ. (رواه البخاري ومسلم)

46- Dari `Aisyah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) hendaklah walinya (membayar dengan) berpuasa untuknya".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa (wajib) yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah meliputi puasa Ramadhan, puasa nazar dan puasa kifarah.

"Wali"nya pula, maksudnya orang yang termasuk dalam lingkungan kaum kerabatnya.

Walinya inilah yang dibolehkan mengerjakan puasa untuk si mati yang tersebut.

_______________________

1. Fath al-Bari (5:95) dan Sahih Muslim bi Syarah al-Nawawi (8:23).


Sah juga puasa itu dikerjakan oleh orang luar - dengan syarat diizinkan oleh wali si mati,  seperti yang dilakukan mengenai "Ibadah haji"(1)

Diterangkan juga dalam hadith yang berikut:

47- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ قَالَ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى. (رواه البخاري)

47- Dari Ibn Abbas r.a., katanya: Seorang lelaki datang mengadap Nabi Muhammad s.a.w. lalu berkata:  "Ya Rasulullah,  ibu saya telah mati sedang ia menanggung hutang puasa (yang wajib) selama sebulan, bolehkah saya mengqadha puasanya itu?"

Baginda menjawab:  "Boleh, (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang (manusia kepada) Allah lebih berhak diselesaikan.(2)

(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)

Hadith ini sama maksudnya dengan hadith yang lalu bahawa orang mati yang menanggung hutang puasa yang wajib (sama ada puasa Ramadhan atau pun puasa nazar atau puasa kifarah), boleh dibayar oleh orang yang termasuk dalam lingkungan kaum kerabatnya - dengan jalan berpuasa untuknya.

Dalam hadith ini juga ada tambahan penerangannya, iaitu Baginda memberikan misal secara qiyas dan secara perbandingan, supaya orang yang bertanya itu memahami masalah yang tersebut dengan sejelas-jelasnya.

Qiyas dan perbandingan itu ialah: (Kalau hutang sesama manusia wajib dibayar) maka hutang manusia kepada Allah lebih berhak diselesaikan".

Dalam huraiannya, Imam Nawawi rahimahullah berkata:  Imam al-Syafi'i rahimahullah, mempunyai "dua qaul" dalam masalah ini:

Pertama - Hutang puasa si mati hendaklah dibayar dengan "fidyah" sahaja.(3)

Kedua - Boleh juga dibayar dengan jalan berpuasa untuknya.(4)

Berdasarkan keterangan yang tersebut, maka kesimpulan masalah ini dalam mazhab Syafi'i ialah: Menurut "qaul" yang pertama: Hutang puasa si mati,  hendaklah di bayar dengan "fidyah" sahaja oleh walinya.

Menurut "qaul" yang kedua pula: Pihak walinya bebas memilih,  sama ada dengan memberi fidyah atau dengan berpuasa untuknya.(5)

__________________________

1. Fath al-Bari (5:96).

2. Kitab yang sama (5:97).

3. Seperti yang tersebut dalam kitab-kitab mazhab 'Jadid'nya.

4. Seperti yang dinyatakan dalam kitab-kitab mazhab 'Qadim'nya.

5. Al-Majmu' (6:342)

Waktu Solat [ Kuala Lumpur ]

 

Hakcipta Terpelihara 2012 © Jakim Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian

 

Sesuai dipaparkan menggunakan Firefox dengan resolusi 1024 x 768