Jumlah Pengunjung :

 

Tarikh Kemaskini :

16 April 2012

 

BERIMAN KEPADA KITAB-KITAB ALLAH

Firman Allah Taala, ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman!  Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada Kitab al-Qur'an yang telah diturunkan kepada Rasul-Nya (Muhammad s.a.w.), dan juga kepada kitab-kitab yang telah diturunkan dahulu daripada itu (136 Surah al-Nisaa')

16- عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ سَلَامٍ وَجَمَاعَةً مِنْ قَوْمِهِ أَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا نُؤْمِنُ بِكَ وَبِكِتَابِكَ وَمُوسَى وَالتَّوْرَاةِ وَعُزَيْرٍ وَنَكْفُرُ بِمَا سِوَاهُ مِنْ الْكُتُبِ وَالرُّسُلِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ "بَلْ آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ مُحَمَّدٍ وَكِتَابِهِ الْقُرْآنِ وَبِكُلِّ كِتَابٍ كَانَ قَبْلَهُ". (رواه الثعلبي)

16- Dari Ibn Abbas, r.a bahawa Abdullah bin Salam dan serombongan dari kaumnya datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu berkata:  "Ya Rasulullah,  sesungguhnya kami beriman kepadamu, dan kepada kitab al-Qur'an yang diturunkan kepadamu dan kepada Nabi Musa dan kepada kitab Taurat dan juga kepada Uzair dan kami kufur terhadap yang lainnya dari Kitab-kitab dan Rasul-rasul." (Mendengarkan yang demikian) maka Baginda Rasulullah s.a.w., bersabda: "(Itu tidak cukup) bahkan hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya Muhammad dan kitab-Nya al-Qur'an dan kepada tiap-tiap kitab yang diturunkan sebelumnya."

(al-Tha'labi)

17- عَنْ مَعْقِلِ بْنِ يَسَارٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مَرْفُوعًا: "آمِنُوا بِالتَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالزَّبُورِ وَلْيَسَعْكُمْ الْقُرْآنُ". (ابن أبي حاتم)

17- Dari Maqil bin Yasar r.a badan Nabi s.a.w., sabdanya: Berimanlah kamu kepada kitab Taurat dan kitab Injil dan kitab Zabur dan hendaklah kitab al-Qur'an pula menjadi panduan yang cukup meliputi cara hidup kamu.

(Ibnu Abi Hatim)

Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa tujuan Rasul-rasul itu diutus oleh Allah Taala ialah untuk menyampaikan ajaran-ajaran, hukum-hukum, cara dan peraturan hidup kepada umat manusia untuk mencapai keselamatan di dunia dan kebahagiaan yang kekal di akhirat.

Ajaran-ajaran dan hukum-hukum yang telah diwahyukan oleh Allah Taala kepada Rasul-rasul-Nya itu melalui Malaikat Jibril a.s, ada yang telah terhimpun dalam kitab-kitab suci,  ada yang terhimpun dalam lembaran-lembaran surah (Suhuf), dan ada pula yang tidak diterangkan perihalnya.

Kitab-kitab suci yang diterangkan namanya di dalam al-Qur'an dan hadis ialah kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa;  kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa;  kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud;  dan kitab al-Qur'an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad - a.s.

Manakala yang disebutkan dengan nama "Suhuf" (Risalah-risalah atau lembaran-lembaran surat) ialah yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa a.s.

"Kitab-kitab Suci" dan "Suhuf" yang tersebut diwajibkan beriman kepadanya secara "Tafsil" (satu persatu); dan yang lain diwajibkan beriman kepadanya secara "Ijmal" (umum).

Waktu Solat [ Kuala Lumpur ]

 

Hakcipta Terpelihara 2012 © Jakim Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian

 

Sesuai dipaparkan menggunakan Firefox dengan resolusi 1024 x 768